Jumaat, 8 November 2019 | 7:12pm
Muhyiddin (tengah) diiringi Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din (kiri) bersalaman dengan anggota polis ketika hadir ke Majlis Minum Petang bersama Warga PDRM, di Balai Polis Pekan Nanas, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

SOSMA tidak dimansuhkan, hanya pindaan

PONTIAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan dimansuhkan, sebaliknya hanya membabitkan pindaan bagi menambah baik pelaksanaannya.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaan SOSMA perlu dipertahankan kerana ia penting bagi menghadapi keganasan dan jenayah rentas sempadan, malah Malaysia turut dijadikan pangkalan mempromosikan keganasan.

Katanya, sesi libat urus bersama pihak berkaitan termasuk ahli akademik, Parlimen dan Majlis Peguam sedang dijalankan sebelum pindaan SOSMA dapat dilaksanakan.

“Keputusan kerajaan termasuk dalam manifesto adalah kekal iaitu tidak akan dimansuh SOSMA, (sebaliknya) ia akan dipinda.

“Langkah sudah dimulakan dan kita baru selesai satu pusingan bawa ke Kabinet yang mahu ada pandangan lain untuk diperhalusi lagi.

“Jadi kita buat sesi libat urus untuk mendapatkan input dan selepas ini akan dibawa semula ke Kabinet untuk keputusan muktamad,” katanya selepas Majlis Minum Petang bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Balai Polis Pekan Nanas, Pontian.

Sebelum ini UMNO menyuarakan kebimbangan pemansuhan SOSMA akan membuka lebih banyak ruang kepada pihak tertentu untuk meningkatkan provokasi antara kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial dan internet.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata, kerajaan akan menghapuskan SOSMA kerana menyifatkan akta itu sebagai zalim tanpa memberi hak kepada pesalah untuk diadili.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan SOSMA masih lagi perlu untuk diteruskan namun mengambil pandangan sesetengah pihak supaya ia ditambah baik.

Beliau berkata, cadangan mengurangkan tempoh reman tahanan daripada 28 hari kepada 14 hari juga masih diperhalusi.

Katanya, polis yang menguatkuasa undang-undang juga memberi pandangan dan ada yang mengatakan tempoh 14 sudah mencukupi tetapi ada juga yang menjelaskan ia tidak mencukupi.

“Kita ambil pandangan.. contohnya, kita akan mulakan tempoh 14 hari, untuk lanjut kena minta mahkamah selepas hakim setuju baru kita lanjutkan 14 hari lagi. Ada check and balance (semak dan imbang),” katanya.

Berita Harian X