Sabtu, 9 November 2019 | 9:31pm
Shariffuddin pada sidang media mengenai NCIG bakal menghentikan operasi di Malaysia. - NSTP/Rosela Ismail

NCIG bakal hentikan operasi di Malaysia

SERI KEMBANGAN: Syarikat pengeluar rokok elektronik tempatan, NCIG (Malaysia) Sdn Bhd (NCIG) yang beroperasi sejak Januari lalu, bakal menghentikan operasinya di negara ini dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharifuddin Bujang berkata, penutupan operasi itu berikutan ketiadaan peraturan berhubung kandungan nikotin rokok elektronik yang dibenarkan di negara ini.

Katanya, syarikat itu akan menumpukan pelaburan untuk pasaran luar negara yang mempunyai peraturan bagi produk rokok elektronik khususnya di United Kingdom (UK) dan Indonesia.

Beliau berkata berikutan ketiadaan peraturan berkenaan, pihaknya hanya boleh memperkenalkan produk cecair rokok elektronik yang mengandungi sifar nikotin untuk pasaran tempatan.

“Ini keputusan yang sukar dibuat kerana kami mempunyai lebih 700 pekerja yang akan kehilangan pekerjaan berikutan penutupan operasi ini.

“Namun, kami tiada pilihan kecuali menumpukan operasi di luar negara,” katanya kepada media selepas Forum Antarabangsa Rokok Elektronik Dari Perspektif Global di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di sini, hari ini.

Forum anjuran NCIG itu antaranya menampilkan ahli panel, pakar vape dari University of Patras, Greece, Dr Konstantinos Poulus dan Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.


Shariffuddin bercakap pada Persidangan Antarabangsa Vape di MIECC, Seri Kembangan. - NSTP/Rosela Ismail

Sharifuddin berkata syarikat itu mengeluarkan produk rokok elektronik bermatlamat untuk menghentikan ketagihan merokok dalam kalangan rakyat negara ini.

“Kami mahu meningkatkan kualiti hidup perokok dan keluarga mereka supaya menghentikan ketagihan merokok selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Dr Konstantinos berkata sejak vape diperkenalkan di negaranya, jumlah perokok dapat dikurangkan sehingga 32 peratus.

“Semakin ramai yang beralih kepada rokok elektronik dan meninggalkan tabiat merokok terutama dalam kalangan perokok tegar,” katanya.

Dr Sharifa Ezat pula berkata, rokok elektronik tidak bagus kepada remaja yang baru belajar merokok kerana ia boleh merosakkan paru-paru mereka.

“Saya harap golongan remaja mengelak mencuba vape kerana sekali mencuba boleh menimbulkan ketagihan,” katanya.

Berita Harian X