Sabtu, 9 November 2019 | 10:04pm
Penyelam mengumpul pukat hantu yang ditemui di perairan sekitar Pulau Pemanggil, baru-baru ini. - Ihsan marinepark.dof.gov.my

'Pukat hantu' gugat, bunuh sumber marin negara

KUALA LUMPUR: Rakaman video memaparkan usaha sekumpulan lelaki menyelamatkan seekor penyu yang terperangkap pada gumpalan jerutan jaring di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang baru-baru ini, adalah antara bukti betapa ‘pukat hantu’ menggugat hidupan marin di perairan negara ini.

Penyu spesies Loggerhead atau lebih dikenali sebagai penyu tempayan itu, ditemui nelayan tersangkut pada pukat hantu di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang, pada 7 September lalu.

Penyu betina seberat lebih 60 kilogram (kg) yang kali pertama ditemui di perairan Semenanjung itu, dirawat di Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) sebelum dilepaskan semula ke laut pada 24 Oktober lalu.

Penyu tempayan berasal dari Lautan Hindi, Pasifik, Atlantik dan Mediterranean, yang diisytiharkan sebagai spesis terancam itu, dipercayai melalui perairan Pulau Kendi sebagai sebahagian daripada laluan migrasi.

World Animal Protection (WAP) menganggarkan 640,000 tan pukat dibiarkan di laut setiap tahun akibat hilang, terputus atau terbiar, hingga memerangkap lebih 136,000 hidupan laut, termasuk ikan paus, ikan lumba-lumba, anjing laut dan penyu.

Di perairan Malaysia, sukar untuk menganggarkan jumlah pukat hantu tersadai di dasar laut atau hanyut dibawa arus, kerana tiada data dikumpul mengenainya kecuali penemuan oleh penyelam setiap kali melakukan aktiviti di dasar laut.

Pukat hantu melitupi permukaan terumbu karang. - Ihsan marinepark.dof.gov.my

Selain berpunca daripada pukat atau jaring nelayan tempatan yang tersangkut di dasar atau terputus serta hanyut ketika cuaca buruk, keadaan diburukkan oleh perbuatan nelayan asing yang menceroboh perairan apabila nekad memutuskan pukat sebelum membiarkannya hanyut setiap kali mengelak ditahan pihak berkuasa.

Pukat hantu yang sering ditemui penyelam setiap kali menjalankan aktiviti di dasar laut, bukan saja berisiko memerangkap hidupan marin, malah mampu ‘membunuh’ terumbu karang yang menjadi sumber makanan dan pembiakan ikan.

Malah sekitar kawasan Taman Laut Johor, hampir 1,000kg pukat hantu ditemui penyelam ketika aktiviti mereka sejak April hingga Oktober tahun ini.

Sekiranya pukat itu terus terbiar menutupi batu karang di dasar laut, ia berisiko mengakibatkan hidupan marin kawasan berkenaan terjejas dan pupus

Pukat yang hanyut boleh mengancam hidupan marin akibat terjerut, selain mengurangkan kepadatan stok ikan di kawasan terumbu karang.

Ketua Bahagian Operasi dan Lapangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Baharim Mustapa, berkata pukat yang terbiar di dasar laut akan menjejaskan rantaian makanan hidupan marin yang bergantung antara satu sama lain termasuk terumbu karang.

“Paling teruk apabila pukat hanyut dan terdampar hingga menutupi kawasan terumbu karang rosak. Ia akan memberi kesan kepada sumber pernafasan ikan yang menerima oksigen dihasilkan terumbu karang.

“Ia akan menyebabkan ikan menjauhi kawasan berkenaan kerana tiada oksigen dan lama kelamaan hilang, pukat hantu ini akan mengganggu sistem rantaian makanan hidupan marin yang bergantung satu sama lain,” katanya yang mengakui pasti terjumpa pukat hantu setiap kali melakukan selam skuba.

Beliau yang berpengalaman menyelam skuba sejak awal 1990-an, berkata biasanya penyelam yang prihatin akan mengambil tanggungjawab memotong pukat hantu yang tersangkut atau terdampar di laut sebelum membawanya ke daratan.

Katanya, antara langkah boleh diambil bagi mengurangkan kesan pukat hantu adalah mewajibkan nelayan mendaftarkan setiap jaring yang digunakan mereka dengan Jabatan Perikanan, untuk memudahkan pemantauan serta mengesan lokasi alatan itu hilang.

“Memang sekarang ada yang didaftarkan tetapi lazimnya nelayan jarang mendaftarkan pukat atau jaring dibeli selepas itu, kalau didaftarkan sepenuhnya, mungkin kita dapat mengurangkan masalahnya.

“Contohnya jika pukat nelayan hilang di lokasi tertentu, mereka boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa yang mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) aktif dalam kegiatan menyelam untuk mencarinya.

“Sekurang-kurangnya, kesan pukat hantu dapat dikurangkan berbanding membiarkannya sahaja di dasar laut sehingga menyebabkan hidupan laut terperangkap yang akhirnya mati begitu sahaja,” katanya.

Jaring terbiar perangkap hidupan laut, hapuskan terumbu karang. - Ihsan marinepark.dof.gov.my

Baharim berkata, jika penyelam menjumpai pukat hantu yang sukar dikeluarkan dari dasar laut, alatan itu boleh digumpalkan sebelum dijadikan seperti tukun tiruan, seterusnya membolehkan karang tumbuh di atasnya pula.

Katanya, masalah pukat hantu berlaku di hampir semua negara yang mempunyai kawasan terumbu karang dan isu itu perlu ditangani segera menerusi langkah meningkatkan kesedaran warga maritim.

Sementara itu, Ketua Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan Johor, Bahrinah Bahrim, berkata sejak April lalu, pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi dan sektor swasta mengutip hampir 1,000kg pukat hantu.

Katanya, jumlah sebenar pukat hantu yang dikutip dipercayai lebih dua kali ganda berikutan ada pengusaha pusat peranginan dan penyelam mengambil inisiatif sendiri membantu mengutip pukat hantu setiap kali menjalankan kegiatan selam skuba.

“Bayangkan, tahun ini saja sebanyak 990kg pukat hantu sudah dikutip dari kawasan terumbu karang termasuk yang hanyut ke pantai.

“Saya percaya jumlah sebenar pukat hantu yang dikutip lebih dua kali ganda hasil inisiatif pihak lain termasuk kerjasama penyelam persendirian yang mengambil langkah membawa keluar pukat hanyut yang dijumpai setiap kali melakukan selam skuba,” katanya.

Antara pukat hantu yang ditemui terdampar di pantai di Pulau Pemanggil.

Bahrinah berkata, Johor mempunyai paling banyak taman laut iaitu membabitkan 13 pulau yang diwartakan dan isu pukat hantu perlu diatasi dengan kerjasama semua pihak terutama nelayan sendiri.

“Kalau dibiarkan, pukat hantu akan tersangkut menutup terumbu karang dan memberi kesan kerosakan yang besar. Pukat hantu biasanya dibuat daripada plastik yang berkualiti dan tahan lama menyebabkan ia mengambil masa beratus-ratus tahun untuk lupus,” katanya.

‘Antara punca utama hasil laut berkurang’

Kerajaan wajar menyalur peruntukan khas bagi melaksanakan kempen kesedaran mengenai bahaya pukat hantu serta menampung operasi mengesannya di dasar laut sekitar perairan negara ini.

Kesedaran dalam kalangan komuniti nelayan masih kurang walaupun mereka adalah kelompok paling terkesan apabila hasil laut semakin berkurangan berikutan kawasan terumbu karang yang menjadi lokasi pembiakan ikan rosak.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari, mengakui pukat hantu adalah di antara faktor utama menyumbang kepada kekurangan hasil tangkapan laut selain pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing.

Sukarelawan membawa keluar pukat hantu yang ditemui di perairan Taman Laut Johor.

“Pukat hantu menyebabkan terumbu karang rosak dan tempat pembiakan ikan pun terganggu...ia sudah tentu memberi kesan kepada hasil tangkapan nelayan yang bergantung kepadanya sebagai sumber pendapatan.

“Pada masa sama apabila tangkapan nelayan berkurangan tetapi permintaan tinggi, harga hasil laut sudah tentu akan meningkat. Ini menunjukkan pukat hantu memberi kesan kepada pelbagai pihak,” katanya.

Abdul Hamid berkata, bahaya pukat hantu tidak boleh dielakkan dengan hanya menggunakan pukat tertentu dalam penangkapan hasil laut kerana ia turut berlaku disebabkan faktor luar kawalan, antaranya cuaca buruk menyebabkan kapal karam atau pukat hilang.

Katanya, pelbagai langkah boleh diambil dengan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat terutamanya komuniti nelayan untuk mengelakkan atau mengurangkan kesan akibat kerosakan pukat yang dihanyutkan ke dasar laut.

“Selain itu, kerajaan juga boleh menyalurkan peruntukan khas untuk menampung kos operasi mencari pukat hantu yang dilakukan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peminat aktiviti menyelam laut dalam yang mendedahkan perkara itu sebelum ini.

“Sekiranya ada peruntukan mungkin usaha mencari pukat tersekat di dasar laut, boleh dicari, sekali gus membersihkan dasar laut negara daripada dicemari pukat,” katanya.

Abdul Hamid berkata, masalah pukat hantu berlaku apabila pukat atau jaring yang dipasang nelayan, terkena pada tukun atau tersangkut menyebabkan ia terpaksa dipotong sebelum ditinggalkan dan akhirnya hanyut mengikut arus.

Katanya, NEKMAT mempunyai 100,000 ahli, selain kira-kira 35,000 warga asing yang bekerja sebagai awak-awak yang boleh memainkan peranan dalam usaha menangani isu pukat hantu.

Orang ramai melihat penyu tempayan yang dilepaskan di pantai Pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul, selepas ditemui nelayan tersangkut pada pukat hantu di perairan Pulau Kendi 7 September lalu. - NSTP/Danial Saad

Beliau mengakui kejadian bot nelayan asing menceroboh perairan negara juga menyumbang kepada isu pukat hantu apabila mereka terdorong memotong pukat untuk melarikan diri apabila perbuatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Sementara itu, Pegawai Jualan dan Pemasaran iCycle Sdn Bhd iaitu syarikat pengurusan sistem pembuangan sampah sistematik, Muhammad Khairul Anuar, berkata pukat nelayan biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya 600 tahun untuk lupus.

“Botol plastik pun mengambil masa paling kurang 500 tahun untuk lupus. Berbanding dengan pukat yang tahan lama, ia mengambil mengambil masa berkali ganda untuk lupus,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pukat hantu yang hanyut di perairan atau terdampar di pantai berisiko merosakkan alam sekitar kerana sukar untuk lupus dan boleh dikatakan mengambil masa selamanya untuk lupus.

Berita Harian X