Ahad, 10 November 2019 | 4:56pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad beramah mesra dengan penduduk setempat yang menjalani pemeriksaan kesihatan selepas perasmian Karnival Gaya Hidup Sihat DUN Paroi 2019 di Perkarangan Masjid Taman Bandar Senawang. Turut hadir Exco Belia dan Sukan, Mohamad Taufik Abd Ghani (kanan). - Foto Hasriyasyah Sabudin

Ambil tindakan jika barangan plastik murah memudaratkan

SEREMBAN: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan mengikut Akta Makanan 1983 menerusi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 jika mendapati barangan plastik murah mengandungi bahan kimia tambahan dikesan boleh memudaratkan kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan membuat pemantauan penggunaan barangan plastik terbabit yang ketika ini dikesan amat berleluasa.

“Kita akan ambil tindakan jika benar penggunaan barangan plastik murah ini jejaskan kualiti dan keselamatan makanan kerana ia menggunakan bahan kimia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mini Karnival Gaya Hidup Sihat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Masjid Kariah Taman Bandar Senawang di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri yang juga ADUN Paroi, Mohammad Taufek Abd Ghani dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainuddin Ali.

Dzukefly berkata, pihaknya akan meneliti laporan terlebih dahulu dan maklumat daripada BKKM sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, keputusan itu perlu berdasarkan fakta yang memerlukan kajian bagi mengenal pasti punca sebenar kemudaratan kesihatan.

“Semua maklumat dan kajian oleh BKKM akan dibentangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet yang akan ditentukan kelak,” katanya.

Mengulas gesaan supaya pengeluar barangan plastik mengisytiharkan kandungan kimia dalam setiap pembuatan produk, beliau berkata, ia akan dikaji jika membabitkan kualiti dan keselamatan makanan.

Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab itu turut termasuk dalam bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

BH hari ini melaporkan penyelidik pengurusan sisa menasihatkan pengguna supaya berhati-hati dalam penggunaan barangan plastik berharga murah kerana kebanyakannya mengandungi bahan kimia tambahan dikenali sebagai phthalates.

Bahan itu boleh memudaratkan kesihatan membabitkan hati, buah pinggang, paru-paru dan sistem hormon.

Berita Harian X