Isnin, 11 November 2019 | 6:20pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

'Itu cuma cara psikologi' - Khalid

PUTRAJAYA: Kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang didakwa mengeluarkan kenyataan ‘berseorangan melawan DAP di Perak’, disifatkan strategi psikologi terhadap penyokong parti lawan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samad, percaya apa yang dinyatakan Ahmad Faizal sekiranya benar seperti didakwa, hanya bertujuan meraih sokongan pengundi berpihak kepada UMNO untuk memilih calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Dia pergi di kawasan dikelilingi orang UMNO yang pemikirannya menolak DAP, beliau nak orang sokong (calon PH), dia kena cakap DAP ini masalah tapi kita boleh tangani, itu cara dia nak cari ruang supaya orang Melayu boleh setuju dengan dia.

“Itu cara psikologi, dia tak boleh kata DAP bagus, nanti orang UMNO tolak, jadi mesej yang dia cuba sampaikan adalah untuk dapatkan sokongan.

“Beliau tak sangka ucapan itu dirakam, jadi bila disebar lainlah maksudnya,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Baru-baru ini, video Menteri Besar Perak yang mendakwa beliau berseorangan melawan DAP demi mempertahankan tanah Melayu dan agama Islam, tular di media sosial.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal kemudian mendakwa kenyataannya itu diambil di luar konteks.

Berita Harian X