Isnin, 11 November 2019 | 7:52pm
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, mengajak pengundi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai menghadiri ceramah mega di sini pada Rabu ini, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang rancak berlangsung menerusi video.

Dr M ajak pengundi Tanjung Piai hadiri ceramah mega

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, mengajak pengundi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai menghadiri ceramah mega di sini pada Rabu ini, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang rancak berlangsung.

Hasrat itu disampaikan Perdana Menteri menerusi klip video ringkas yang dimuat naik menerusi akaun media sosial rasmi beliau, hari ini.

Antara lain, Dr Mahathir mengajak pengundi menghadiri ceramah mega PH yang dijadual diadakan di tapak Terminal Bas Kukup Laut, bertujuan mendekati masyarakat setempat.

“Saya ingin jemput semua pengundi Tanjung Piai untuk hadir ceramah mega Pakatan Harapan pada Rabu ini iaitu 13 November, jam 8 malam.

“Jemput hadir beramai-ramai,” katanya menerusi video berdurasi 23 saat itu.

Penghujung rakaman video berkenaan memaparkan poster dan maklumat berkaitan ceramah berkenaan yang dijangka turut dihadiri pimpinan tertinggi PH bersama calon mereka, Karmaine Sardini.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Karmaine berdepan cabaran Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng daripada Barisan Nasional (BN), Wendy Subramaniam (GERAKAN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (BERJASA) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Berita Harian X