Selasa, 12 November 2019 | 12:18am

Isu keselamatan penerbangan, CAAM akui wujud kelemahan

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengakui bahawa ada beberapa kelemahan dalam melaksanakan peranannya sebagai pengawal selia penerbangan.

Pengerusi CAAM, Kapten Ahmad Ridzwan Mohd Salleh, berkata CAAM mengambil serius penilaian Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan berusaha untuk membuat perubahan dalam struktur serta operasinya.

Katanya, Kementerian Pengangkutan sudah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini itu.

Semalam, FAA Amerika Syarikat (AS) memaklumkan CAAM diturunkan penarafannya sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 berbanding Kategori 1 sebelum ini.

Ia hasil daripada Kajian Semula FAA Review ke atas CAAM yang dilaksanakan pada April 2019.

FAA menjalankan audit pengawal selia yang mengawasi operasi penerbangan ke AS.

Audit itu merangkumi bidang perundangan, pengawasan, perwakilan kuasa serta kecukupan bilangan kakitangan teknikal di bawah CAAM.

“Kami ingin menegaskan bahawa penilaian hanya merangkumi peranan CAAM sebagai pengawal selia penerbangan.

“Pengkategorian ini bukan penilaian syarikat penerbangan, lapangan terbang atau perkhidmatan trafik udara yang berada di bawah naungan CAAM,” kata CAAM dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, oleh kerana CAAM disenaraikan sebagai Pengawal Selia Kategori 2, syarikat penerbangan yang dilesenkan oleh CAAM tidak dapat menambah laluan baharu ke dan dari AS.

Ahmad Ridzwan berkata, penilaian dan pengkategorian berikutnya oleh FAA bersifat sendiri dan sepihak dan di bawah hak mereka sebagai negara ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

CAAM meminta FAA untuk menjalankan penilaian semula dalam masa 12 bulan akan datang dengan hasrat agar status Kategori 1 dipulihkan semula.

“Perancangan sudah dibuat untuk menangani dapatan audit berkenaan,” katanya.

CAAM berkata, ia terus menyumbang kepada pembangunan dan pengawasan penerbangan menerusi kerusinya dalam Majlis ICAO.

Ia juga terus mematuhi sepenuhnya semua standard dan undang-undang ICAO dan diaudit oleh ICAO pada pertengahan 2019. – BERNAMA

Berita Harian X