Selasa, 12 November 2019 | 10:28am
Calon PH bagi PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini (tiga dari kanan) bersalaman dengan anggota polis pada hari pengundian awal di Rumah PERKEP, Ibupejabat Polis Daerah Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Karmaine harap aura Tun M

PONTIAN: Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai malam esok, membawa aura tersendiri yang memberi kesan besar kepada calonnya, Karmaine Sardini.

Mengakui keadaan itu, Karmaine, 66, berkata kehadiran Pengerusi PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu pada ceramah mega di tapak Terminal Bas Kukup Laut malam esok, menjadi antara strategi diatur oleh pihaknya.

“Sebagai calon PH, saya memang mengharapkan kehadiran Tun Dr Mahathir kerana ia memberi impak besar kepada pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai.

“Seperti Tun pernah sebut, ada segelintir rakyat tidak tahu (sedar) Tun kini Perdana Menteri kerajaan PH, bukan lagi Barisan Nasional (BN).

“Kita mengharapkan aura beliau sebagai tokoh yang bukan hanya dikenali di dalam negara tetapi juga di luar negara. Beliau negarawan dan pemimpin ulung,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, hari ini.

Dr Mahathir dijangka tiba jam 4 petang esok dan mengadakan perjumpaan bersama Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebelum menyertai Ceramah Mega PH Bersama Perdana Menteri di Tapak Terminal Bas Kukup di sini.

Beliau kemudian dijadualkan bersarapan bersama ahli Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen Tanjung Piai di Warung 800 Pekan Nanas keesokannya.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Wendy Subramaniam (GERAKAN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (BERJASA) serta dua calon bebas, iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock dan ahli perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK diadakan susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Berita Harian X