Selasa, 12 November 2019 | 3:53pm
MUSANG king.

Musang King Malaysia semakin laris di China

HANGZHOU: Syarikat pemborong milik Alibaba Group, Pagoda, berhasrat memperkukuhkan pasaran import durian dari Malaysia bagi memenuhi permintaan industri di China.

Percaturan oleh syarikat pemborong hasil pertanian rentas sempadan yang berpangkalan di timur republik itu diambil selepas mendapati kualiti ‘raja buah’ dihasilkan Malaysia mempunyai potensi tersendiri, berbanding Thailand.

Memperincikan perkara itu, Pengarah dan Rakan Kanan Jabatan Barangan Segar Pagoda, Sun Peng, berkata nilai pasaran import durian ke China dari Asia Tenggara ketika ini adalah sekitar 3 bilion renminbi (RM1.77 bilion).

Dua negara di rantau berkenaan yang menjadi pembekal utama permintaan pasaran domestik di China adalah Malaysia dan Thailand, dengan masing-masing mempunyai kelebihan kualiti buah mengikut cita rasa pengguna.

“Berdasarkan perangkaan semasa, nilai import durian dari Malaysia adalah sekitar 500 juta hingga 700 juta renminbi (RM295 juta hingga RM414 juta), bergantung kepada kadar penghasilan mengikut musim.

“Kita akan terus pacu kerjasama dengan Malaysia dalam sektor import durian, malah Pagoda ketika ini mempunyai kaedah saringan tersendiri di lokasi pengumpulan bagi memastikan hanya buah berkualiti akan diambil.

“Bagi melancarkan aspek operasi, kita juga mempunyai kemudahan penyimpanan sendiri, seiring pertumbuhan kadar permintaan durian dari Malaysia untuk kegunaan pelbagai sektor, termasuk hiliran,” katanya dalam temu bual bersama media Asia Tenggara, di sini.

Mengulas keunikan durian Malaysia, Peng berkata, buah dari baka paling laris dan semakin mendapat permintaan luar biasa di China ketika ini ialah ‘Musang King’ yang sememangnya terkenal dengan faktor rasa serta warnanya.

Jika dibanding dengan Thailand yang turut menghasilkan jenis buah sama, Malaysia dikatakan mempunyai kelebihan berikutan kaedah penanaman dan penuaian.

“Kita tidak boleh bandingkan durian dari Malaysia dan Thailand kerana masing-masing mempunyai ciri tersendiri, justeru ia sebenarnya bergantung kepada permintaan di pasaran China.

“Musang King yang dihasilkan Malaysia lebih berkualiti kepada kami kerana buahnya dibiarkan sampai masak pada pokok sebelum dituai apabila jatuh ke tanah.

“Thailand pula berbeza rasa dan kualitinya kerana mereka petik buah berkenaan lebih awal serta dibiarkan masak menggunakan kaedah tersendiri,” katanya.

Berita Harian X