Selasa, 12 November 2019 | 7:16pm
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. NSTP/Rohanis Shukri.

'Tanam timun, anak muda jadi jutawan' - Tze Tzin

KUALA LUMPUR: Sistem fertigasi dalam penanaman timun, cili padi dan terung yang selama ini dianggap hanya memberi pendapatan sampingan kepada pengusahanya, mampu melahirkan jutawan dalam kalangan anak muda jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, berkata ini dibuktikan pengusaha timun di Tanjung Piai, Pontian yang menjadi jutawan menerusi tanaman timun.

Katanya, Rizuan Yassin yang mengusahakan timun secara komersial kini bergelar jutawan berikutan permintaan tinggi sayur berkenaan.

Susulan itu, beliau berkata, kementeriannya menggalakkan penanam sawit dan getah memperuntukkan 30 peratus tanah pertanian mereka untuk tanaman kontan.

“Orang muda boleh jadi jutawan dengan mengusahakan tanaman fertigasi, jadi kita mahu generasi kedua FELDA menceburinya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling), Tze Tzin berkata, sebanyak 770 hektar kawasan tanah

dibangunkan dengan tanaman nanas secara integrasi atau selingan bersama tanaman sawit dan getah sejak pelaksanaan Projek

Integrasi Tanaman Nanas pada 2016.

Katanya, berdasarkan data keluasan semasa, 53 peratus kawasan tanaman integrasi nanas menerusi program itu ditanam

secara kontan bersama kelapa sawit dan 35 peratus ditanam bersama tanaman getah.

Beliau berkata, baki 12 peratus ditanam bersama tanaman dusun, buah-buahan dan kelapa, dengan 679 peserta menerima

manfaat melalui program Projek Integrasi Tanaman Nanas.

“Secara purata, peserta projek ini akan menerima tambahan pendapatan RM2,500 hingga RM3,500 sebulan bergantung kepada keluasan tanaman dan jenis varieti nanas ditanam.

“Melalui program ini, pekebun atau pengusaha tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah akan dapat menikmati faedah

seperti pendapatan tambahan kepada sumber pendapatan utama mereka terutama apabila berhadapan suasana kejatuhan

harga komoditi di pasaran,” katanya.

Tze Tzin berkata, tahun lalu Malaysia tersenarai sebagai negara pengeluar nanas segar ke-23 terpenting dunia dan kelima

terpenting di Asia Tenggara selepas Thailand, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Katanya, pengeluaran nanas negara pada 2018 menyumbang 382,811 tan bernilai RM502 juta atau 27.7 peratus daripada jumlah pengeluaran sektor buah-buahan di Malaysia.

Beliau berkata, pengeluaran nanas negara dijangka tumbuh pada kadar 22.1 peratus setahun dengan unjuran pengeluaran

negara sebanyak 700,000 tan pada 2020.

“Eksport nanas negara pada 2018 bernilai RM342 juta, peningkatan 39.18 peratus berbanding 2017,” katanya.

Berita Harian X