Selasa, 12 November 2019 | 9:17pm
Pengerusi CAAM, Kapten Ahmad Ridzwan Mohd Salleh. - Foto BERNAMA
Pengerusi CAAM, Kapten Ahmad Ridzwan Mohd Salleh. - Foto BERNAMA

CAAM yakin kembali ke kategori 1 dalam tempoh 24 bulan

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yakin dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang status penarafan Malaysia akan dipulihkan semula kepada Kategori 1, selepas penilaian semula oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS).

Pengerusi CAAM, Kapten Ahmad Ridzwan Mohd Salleh, berkata penurunan penarafan daripada Kategori 1 kepada Kategori 2 oleh FAA semalam berkait dengan lapan elemen berkaitan sistem pengawasan keselamatan penerbangan yang dinilai agensi itu dalam sesi audit.

Katanya, ia termasuk Perundangan Penerbangan Utama; Peraturan Operasi Tertentu; Sistem Penerbangan Awam Negeri dan Fungsi Pemantauan Keselamatan serta Latihan dan Kelayakan Kakitangan Teknikal.

“Selain itu, panduan teknikal, peralatan dan penyediaan maklumat keselamatan kritikal; pelesenan, pensijilan, kebenaran dan kelulusan pengawasan; kewajipan pengawasan dan Resolusi Keprihatinan Keselamatan.

“Pada sesi audit itu yang dijalankan pada April lalu, FAA menyenaraikan penemuannya dan CAAM mengambil langkah segera memperbetulkan. Sehingga Julai lalu, kebanyakan daripadanya sudah pun diselesaikan.

“Bagaimanapun, pada pandangan CAAM, ada daripada penemuan FAA yang samar-samar dan tidak dapat dipastikan. CAAM akan terus bekerjasama dengan agensi untuk menyelesaikan perkara ini.

“Tetapi ingin ditegaskan di sini, penilaian ini hanya merangkumi peranan CAAM sebagai pengawal selia penerbangan.

“Kategori ini bukan penilaian syarikat penerbangan, lapangan terbang atau perkhidmatan trafik udara yang berada di bawah naungan CAAM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, anggota CAAM, Afzal Abdul Rahim, berkata CAAM tidak menolak kemungkinan badan itu akan diaudit oleh pihak berkuasa penerbangan negara lain susulan penurunan penarafan oleh FAA dan pihaknya sentiasa bersedia untuk diaudit.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pihaknya bersedia untuk diaudit semula oleh FAA selepas beberapa perubahan drastik dan pembangunan semula pihak berkuasa itu dilaksanakan selepas ini.

“CAAM yakin dapat kembali ke Kategori Satu yang dimiliki sejak tahun 2003 dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang selepas FAA melaksanakan audit mereka nanti.

“CAAM sudah memenuhi semua piawaian dan undang-undang Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) malah Malaysia adalah ahli ICAO yang dihormati mewakili Asia Pasifik selain Korea Selatan,” katanya.

Dalam pada itu, Afzal berkata, secara keseluruhan, CAAM mematuhi piawaian ICAO dan semasa diaudit FAA, CAAM mencatatkan markah 92.7 peratus daripada kira-kira 300 soalan yang ditanya.

“Dalam pengiraan kami, hanya kira-kira 7.3 peratus atau 33 lagi masih tertangguh.

“Terdapat kekaburan mengenai isu tertentu, tetapi perkara utama adalah maklum balas itu kami terima dan kami akan membuat perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, Afzal mengesahkan CAAM sudah memaklumkan mengenai penurunan penarafan itu kepada Kementerian Pengangkutan dan makluman berhubung perkara itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah di luar bidang kuasanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X