Rabu, 13 November 2019 | 12:38pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Rosela Ismail
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Rosela Ismail

Cadangan penambahbaikan RUU IPCMC dibentang selewat-lewatnya 25 November ini

KUALA LUMPUR: Cadangan penambahbaikan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 akan dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya 25 November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata cadangan itu sebelum ini diputuskan untuk dibentangkan selewat-lewatnya 18 November ini, namun Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU itu memerlukan lebih masa untuk meneliti isu yang berkaitan.

“Jawatankuasa memerlukan lebih masa bagi membolehkannya meneliti isu yang menjadi perhatian awam dengan lebih menyeluruh dan mendalam sebelum menyedia dan membentangkannya kepada dewan ini.

“Majlis membuat ketetapan melanjutkan tarikh bagi Jawatankuasa Pilihan Khas ini membentangkan suatu penyata yang mengandungi cadangan penambahbaikan kepada rang undang-undang berkenaan kepada dewan tidak lewat daripada 25 November 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul mengenai perkara itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 7 Oktober lalu, Dewan Rakyat menetapkan supaya RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Ketetapan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, sebaik diusulkan oleh Vui Keong selepas dibahas 30 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada jawatankuasa terbabit bagi memperincikan lagi RUU itu termasuk beberapa pindaan yang dicadangkan bagi tujuan penambahbaikan.

Berita Harian X