Rabu, 13 November 2019 | 3:09pm
Richard Malanjum akan mengetuai Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori, yang dianggotai sembilan ahli.
Richard Malanjum akan mengetuai Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori, yang dianggotai sembilan ahli.

Richard Malanjum dilantik Pengerusi Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, akan mengetuai Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori, yang dianggotai sembilan ahli.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata ahli Jawatankuasa itu terdiri daripada pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, bekas Peguam Kanan Persekutuan, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada institusi pengajian awam dan pakar kajian jenayah.

Beliau memaklumkan, ahli lain ialah bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim; Pengasas Bersama dan Pengarah Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), Edmund Bon dan Ahli Majlis Peguam, Andrew Khoo Chin Hock.

Selain itu, bekas Peguam Cara Negara, Datin Paduka Seri Zauyah Be T Loth Khan; bekas Pegawai Kanan Jabatan Penjara, Thang Ah Yong; Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Mah Weng Kwai; Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Farah Nini Dusuki dan pakar kriminologi di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datuk Dr P Sundramoorthy.

Hanipa berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mengenai senarai ahli Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang akan ditubuhkan kerajaan dan sama ada agamawan seperti mufti serta pihak jabatan agama turut terbabit dalam penubuhan jawatankuasa itu.

Hanipa berkata, secara amnya, golongan agamawan tidak dibabitkan secara langsung dalam penubuhan Jawatankuasa Khas itu.

“Bagaimanapun, penubuhan Jawatankuasa Khas ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan proses penggubalan undang-undang itu sendiri bersifat inklusif, holistik dan berkesan dengan menumpukan kepada sesi libat urus dan ‘outreach’ yang mencukupi.

“Justeru, pembabitan pelbagai lapisan masyarakat termasuk agamawan seperti Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam proses kajian ini akan diberi perhatian khusus supaya hak individu untuk menyuarakan pandangan tidak diketepikan,” katanya.

Hanipa memaklumkan cadangan pelaksanaan sesi libat urus yang holistik akan membabitkan pelbagai aspek seperti sesi ‘town hall’ negeri mengikut zon dan bersama Ahli Parlimen, rundingan awam secara dalam talian, pandangan pakar,

perbincangan kumpulan fokus bersama pakar dan perjumpaan dengan keluarga mangsa serta banduan akhir.

Menjawab soalan tambahan Takiyuddin mengenai bila cadangan hukuman gantian bagi hukuman mati mandatori itu akan dibentangkan di Parlimen, Hanipa berkata sesi libat urus dijangka selesai hujung tahun ini dan cadangan mengenai hukuman gantian dijangka dibentang pada Mac tahun depan.

Pada 29 Ogos lalu, kerajaan bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ditubuhkan untuk mengkaji secara keseluruhan dasar penghukuman bagi menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara Mahkamah.

Berita Harian X