Rabu, 13 November 2019 | 11:56pm
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Kerajaan cadang perkenal feri dari Kukup ke Singapura

PONTIAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang memperkenalkan perkhidmatan feri baharu menghubungkan Kukup di sini dengan Tuas, Singapura sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau sudah mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau yang juga Menteri Dalam, berkata perkhidmatan feri itu akan merancakkan lagi ekonomi khususnya sektor pelancongan di kawasan ini.

“Antara agenda paling utama adalah membangunkan sektor pelancongan di Tanjung Piai, ...terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal kerana menyambung semula perkhidmatan feri di Kukup baru-baru ini.

“Saya ada bertanya kepada beliau, mengapa tiada perkhidmatan feri menyambung Kukup dan Tuas, di Singapura.

“Selepas dibincangkan, mereka berpendapat boleh wujudkan perkhidmatan feri baharu itu, Insya-Allah selepas menang PRK Parlimen Tanjung Piai, kita boleh laksanakan,” katanya berucap pada program Ceramah Perdana PH, di Kukup Laut, di sini, malam ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan pengundi bahawa masalah dihadapi mereka boleh diselesaikan sekiranya memilih calon kerajaan sebagai wakil rakyat.

“Pengundi perlu faham, ini adalah pilihan raya kecil, justeru adalah penting untuk memilih calon yang boleh membantu kerajaan pusat dan negeri melaksanakan pelbagai pembangunan yang diperlukan.

“Jika tersalah pilih, maka setahun setengah akan datang akan menjadi tempoh yang panjang, masalah rakyat tidak boleh diselesaikan jika wakil rakyat pembangkang dipilih.

“Ini logik yang perlu difikirkan, beri pertimbangan penuh dan pilih calon PH, Karmaine Sardini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu ini,” katanya.

Berita Harian X