Khamis, 14 November 2019 | 11:29am
BAPA tunggal, Sarih Mohd Zaini Sarih Ahmad menjaga dua anaknya Sarih Mohamad Syazwan dan Syarifah Sazwina yang terbabit dengan kemalangan maut di Jalan Rompin-Tanjung Gemuk yang menyebabkan isteri dan seorang lagi anaknya meninggal.Mereka kini menetap di Kampung Janglau 3. NSTP/Mohd Rafi Mamat

Kuatkan semangat demi 2 anak

ROMPIN: Dua anak yang terselamat dalam kemalangan maut Julai lalu menjadi penguat semangat kepada Sarih Mohd Zaini Sarih Ahmad, 47, untuk meneruskan kehidupan yang serba berubah.

Dalam sekelip mata, dia kehilangan isteri, Fazrina Yusof, 37, dan anak bongsunya, Sofia Mikyla, 18 bulan, selepas mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Rompin-Tanjung Gemok, dekat Kampung Sepakat, lima bulan lalu.

Katanya, kehilangan dua insan tersayang begitu sukar untuk diterima namun demi masa depan dua anak yang tinggal, dia perlu kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Selama 44 hari saya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menemani dua anak Sarih Mohamad Syazwan, 5, dan Syarifah Sazwina, 9, yang parah menyebabkan mereka kini cacat kekal.

“Kaki kanan Sarih Mohamad Syazwan terpaksa dipotong di bawah paras lutut manakala kaki kanan kakaknya hancur, bahu kanan mereka berdua juga turut patah.

“Lebih memilukan, saya tidak berpeluang menghantar jenazah arwah isteri dan anak bongsu ke kubur kerana terpaksa menjaga dua anak yang ketika itu sedang dirawat di HTAA dalam keadaan koma.

“Hanya Allah SWT saja mengetahui perasaan saya ketika itu, bukan saja kehilangan isteri dan anak bongsu tetapi dua anak sedang dirawat ketika itu berada dalam keadaan kritikal,” katanya di sini, semalam.

Beliau yang menetap di Kampung Janglau 3 di sini berkata, dua anaknya yang terselamat masih menjalani rawatan secara berterusan walaupun dibenarkan pulang ke rumah.

Sarih Mohd Zaini berkata, kemalangan pada 6 Julai lalu itu berlaku ketika isterinya yang menunggang motosikal bersama tiga anaknya menuju ke bandar Rompin bagi membeli barangan keperluan selepas pulang menyertai pertandingan mewarna di Pantai Hiburan, di sini.

Katanya, dalam perjalanan itu motosikal dinaiki dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang menyebabkan semua mangsa tercampak termasuk isteri tercampak ke dalam parit di tepi jalan.

Beliau berkata, isterinya meninggal dunia di Hospital Rompin pada hari kejadian dan anak bongsunya yang mengalami kecederaan dalaman meninggal di HTAA dua hari kemudian.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan yakin pasti ada hikmah di sebalik kejadian itu. Tuhan meletakkan ujian berat ini pada saya dan saya perlu hadapi dengan hati terbuka.

“Kekuatan semangat saya bertambah setiap kali melihat dua anak yang memerlukan kasih sayang dan sokongan selepas mereka kehilangan ibu dan mengalami cacat kekal.

“Saya perlu sembunyikan semua kesedihan bagi memastikan dua anak saya itu tidak berasa tertekan,” katanya mengucapkan terima kasih kepada doktor di HTAA yang merawat anaknya serta ahli keluarga dan rakan yang banyak membantu.

Beliau yang bekerja sebagai juruelektrik berkata, dia kini setiap hari terpaksa menghantar anak perempuannya ke Klinik Kesihatan Tanjung Gemok, di sini bagi menjalani proses mencuci luka dan besi yang digunakan untuk mencantum bahagian kaki kanan anaknya bagi mengelak jangkitan kuman.

Berita Harian X