Khamis, 14 November 2019 | 3:40pm
AHLI Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar bercakap pada sidang media ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.Turut sama Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kiri). - Foto BERNAMA
AHLI Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar bercakap pada sidang media ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.Turut sama Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kiri). - Foto BERNAMA

Speaker tolak usul permit kempen pilihan raya rumah ke rumah

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat, hari ini menolak usul pembangkang supaya peraturan mewajibkan permit polis bagi kempen pilihan raya dari rumah ke rumah dibatalkan.

Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, memaklumkan perkara itu kepada Dewan selepas usul berkenaan dikemukakan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) sebelum sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bermula.

Noh ketika mengemukakan usul itu, berkata arahan berkenaan bercanggah dengan Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, selain Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau juga sudah menerima penolakan usul itu daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, atas sebab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Liew Vui Keong) sudah memberikan penjelasan mengenainya di Dewan Rakyat hari ini, selain difahamkan polis tidak akan menguatkuasakan peraturan itu.

“Bagaimanapun, jawapan menteri amat mengelirukan Dewan kerana mengaitkan kempen rumah ke rumah dengan Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya, yang mana ia hanya untuk perhimpunan terbuka dan syarahan awam, tiada kaitan dengan kempen dari rumah ke rumah.

“Selain itu, Seksyen 24B (4), ia berkaitan risalah, brosur dan lain-lain. Jadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada kuasa kerana ia menyekat kebebasan bergerak yang dijamin Perlembagaan,” katanya.

Selasa lalu, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, dilapor mengingatkan semua parti dan calon bertanding supaya mendapatkan permit daripada polis jika berkempen dari rumah ke rumah kerana ia suatu bentuk berkempen.

Arahan itu dikeluarkan ketika kempen PRK Parlimen Tanjung Piai sedang rancak berlangsung.

Kor Ming menjelaskan, usul berkenaan tidak menepati syarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1), menyebabkan ia ditolak selain fakta yang dikemukakan Noh tidak tepat.

“Polis dan SPR tidak keluarkan arahan itu, (dan) itu adalah fakta. SPR sudah buat penjelasan, jadi tidak timbul soal isu ini,” katanya.

Jawapan itu bagaimanapun menimbulkan sedikit kekecohan, menyebabkan beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bangun untuk mengemukakan Peraturan Mesyuarat.

Noh kemudian meminta Kor Ming membuat ketetapan dalam Dewan Rakyat bahawa peraturan mewajibkan permit polis bagi kempen pilihan raya dari rumah ke rumah itu tidak akan dikuatkuasakan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sedang berlangsung.

“Kalau Speaker berani, umumkan dalam Dewan ini, itu saja usul kita. Kalau Speaker berani umumkan akan menarik balik dan tidak kuatkuasakan peraturan ini, kita setuju,” katanya.

Kor Ming bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mengeluarkan arahan kepada polis kerana itu adalah di luar bidang kuasanya.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) kemudian bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat 18 (1), yang menyatakan Noh sepatutnya hanya dibenarkan membaca teks usul saja dan bukan berbahas, selain mendakwa ia adalah taktik Noh untuk memancing undi pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Kor Ming sekali lagi mengingatkan Noh supaya tidak membazirkan masa Dewan Rakyat dan menegaskan di bawah Perkara 43, kuasa Speaker untuk menolak usul itu adalah muktamad.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X