Khamis, 14 November 2019 | 3:42pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab pertanyaan wakil media ketika hadir bagi menyampaikan ucaptama mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sempena ‘ INTAN Ministerial Forum Series 2019 ‘, di Dewan Sri Baiduri, INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Penuhi dua kriteria laksana WKB 2030 - Azmin

KUALA LUMPUR: Penjawat awam perlu memenuhi dua kriteria utama sejajar peranan sebagai pemacu ke arah menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2020.

Dua aspek utama perlu bagi menjayakan wawasan terbabit ialah keberkesanan penyampaian institusi serta tadbir urus dan integriti.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menjelaskan kelemahan penyampaian akan membuka ruang persepsi negatif dalam kalangan rakyat hingga mencetuskan kritikan terhadap kerajaan.

“Penjawat awam berperanan secara signifikan dalam menterjemahkan wawasan ini kepada realiti yang menjamin kemakmuran untuk semua.

“Berdasarkan prestasi penjawat awam dalam menjayakan dasar negara, saya yakin mereka secara kolektif akan menggalas cabaran baharu dan merealisasikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah negara maju, makmur, bermaruah serta dihormati masyarakat dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Forum Menteri Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

Mohamed Azmin berkata, WKB 2030 bukan sekadar wacana atau strategi, sebaliknya perancangan yang perlu diterjemahkan kepada tindakan dan penyampaian berkesan kepada rakyat.

“Untuk mencapai maksud ini, setiap jabatan dan agensi di bawah kementerian perlu menjajarkan program dan inisiatif, menjurus bagi menjayakan objektif WKB 2030.

“Setiap kementerian perlu bersedia mendakap teknologi baharu kerana penggunaan teknologi akan meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian dan dapat melonjakkan produktiviti serta hasil untuk negara,” katanya.

Berita Harian X