Khamis, 14 November 2019 | 5:32pm
MOHAMAD Sabu bersama Prabowo Subianto ketika hadir sidang media bersama di ruang legar Wisma Perwira ATM. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Lawatan Probowo eratkan hubungan pertahanan Malaysia, Indonesia

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan Kabinet baharu Indonesia bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin demi manfaat bersama, terutama dalam aspek pertahanan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata perkara itu disuarakan kedua-dua pihak dalam lawatan rasmi selama dua hari Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto ke negara ini, bermula semalam.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut mengesahkan komitmen untuk terus mempertingkatkan kerjasama pertahanan sedia ada bagi mencapai keharmonian, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.

“Malaysia sentiasa menganggap Indonesia sebagai jiran penting dan juga sahabat akrab. Malaysia amat gembira dengan jalinan diplomatik kedua-dua negara sejak 62 tahun lalu yang kini sudah menjadi begitu istimewa, harmoni dan berada pada tahap tertinggi di semua peringkat.

“Malaysia juga adalah negara pertama dikunjungi Menteri Pertahanan Indonesia yang baharu sejak mengambil alih jawatan itu, ia juga mencerminkan keakraban kedua-dua negara,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi Menteri Pertahanan Indonesia itu ke negara, hari ini,

Probowo mula menjawat jawatan Menteri Pertahanan negara republik itu pada 23 Oktober lalu.

Mohamad berkata, dalam perbincangan dua hala itu, kedua-dua pihak memperakui masih terdapat ruang kerjasama yang boleh diteroka dalam aspek pertahanan.

“Antara lain, perbincangan turut menyentuh mengenai ancaman keselamatan bukan tradisional khususnya keganasan yang turut menjadi fokus utama bagi kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Prabowo berkata, beliau mendapat arahan daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo supaya kerjasama Malaysia - Indonesia dijaga dan dipererat malah beliau optimis bahawa hubungan pertahanan kedua-dua negara semakin baik.

“Saya yakin hubungan pertahanan kami semakin baik. Banyak pemikiran dan pandangan saya dengan Mohamad adalah sama. Kami akan cari bentuk kerjasama pertahanan baharu seperti bidang industri teknikal pertahanan,” katanya.

Berita Harian X