Khamis, 14 November 2019 | 9:06pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Plastik bungkus makanan selamat - KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan kebanyakan makanan yang menggunakan bungkusan atau bekas plastik, bebas daripada bahan kimia phthalate.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2017, mendapati tiada bahan kimia itu pada 130 sampel makanan yang diperiksa.

Katanya, BKKM turut memantau beberapa bahan plastik sejak 2002 dan mengesahkan tahap pencemaran phthalates daripada plastik kepada makanan, tidak membahayakan kesihatan.

“BKKM menjalankan pemantauan sejak 2002 ke atas keselamatan bahan plastik, termasuk pelbagai jenis pembungkus plastik, tin minuman aluminium, botol susu, puting kanak-kanak, pembungkus gula-gula dan makanan ringan serta mainan kanak-kanak.

“Hasil pemantauan menunjukkan pencemaran phthalates daripada plastik kepada makanan adalah pada tahap yang tidak membahayakan kesihatan.

“Pemantauan yang dijalankan sejak 2017 ke atas 130 sampel makanan juga mendapati tiada bahan kimia phthalate di dalam sampel makanan berkenaan.

“Pemantauan yang dijalankan turut mendapati bahan pembungkus makanan yang terdapat di pasaran adalah selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata penggunaan bahan pembungkus yang berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan pengguna, bertentangan dengan Peraturan 27 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Kegagalan mematuhi peraturan itu adalah kesalahan dan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

“BKKM akan terus memantau bahan pembungkus plastik makanan yang digunakan di pasaran tempatan dan sentiasa mengikuti perkembangan saintifik di peringkat antarabangsa bagi memantau risiko terkini keselamatan makanan yang berpunca dari bahan pembungkus plastik,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menyarankan pengguna mengikut kaedah penggunaan plastik makanan yang betul, seperti disarankan pada bahan pembungkus plastik.

“Terdapat tujuh kategori plastik yang boleh dikenal pasti melalui Nombor Identifikasi Plastik (NIP) yang ada pada bahan pembungkus dan setiap NIP mempunyai ciri khas untuk makanan panas, sejuk dan berminyak,” katanya.

Berita Harian X