Khamis, 14 November 2019 | 11:10pm

FELDA, FIC saman Synergy Promenade, 20 yang lain

KUALA LUMPUR: FELDA dan anak syarikatnya Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), mengemukakan saman terhadap pemaju hartanah Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dan 20 yang lain untuk mendapatkan perintah membatalkan serta-merta semua instrumen pindah milik tanah di Jalan Semarak, di sini.

Selain SPSB , FELDA dan FIC turut menamakan antaranya bekas Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad; bekas Pengerusi, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; bekas Pengarah Besar, Datuk Faizoull Ahmad; bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil; Pengarah SPSB, Abd Rahman Soltan dan Noraini Soltan.

Pihak lain dinamakan ialah Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (SPKLVC); bekas Pengarah Besar, Datuk Hanapi Suhada; bekas Pengarah Besar, Datuk Ab Ghani Mohd Ali; bekas Pengarah Tanah FELDA, Shahrizal Mohd Saleh dan Pengarah Tanah dan Galian Kuala Lumpur selaku defendan.

FELDA dan FIC yang bertindak selaku plaintif memfailkan saman itu melalui e-filing, menerusi firma guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill petang tadi.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, FELDA memohon perintah untuk mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Kuala Lumpur, membatalkan dengan serta-merta semua instrumen pindah milik tanah Semarak FELDA daripada agensi itu kepada SPSB dan SKPLVC dalam tempoh 30 hari dari tempoh perintah itu.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa FIC Letter of Award, FELDA Letter of Award, Perjanjian Pembangunan, Surat Kuasa Wakil, Perjanjian Sewa, empat Perjanjian Jual Beli dan Memorandum Persefahaman tidak boleh dikuatkuasakan, batal atau tidak sah.

Selain itu FELDA menuntut ganti rugi dan pampasan daripada Mohd Isa dan/atau Faizoull bagi pelanggaran kewajipan dan undang-undang lazim yang ditanggungnya berjumlah RM1.062 bilion, bagi nilai komersial tanah Semarak yang boleh diterima secara langsung daripada jualan tanah berkenaan.

Yang turut dipohon, antaranya pampasan dalam ekuiti untuk kerugian peluang komersial berjumlah RM562 juta, sekiranya FELDA menerima MGR berjumlah RM500 juta daripada Perjanjian Pembangunan itu.

Ia juga menuntut pampasan dalam ekuiti atas segala kos dan perbelanjaan yang akan ditanggung, untuk merobohkan struktur yang dibina oleh SPSB dan untuk mengembalikan semula tanah kepada keadaan asal.

FELDA juga menuntut pampasan dalam ekuiti untuk kerugian dan ganti rugi yang bersamaan nilai komersial 17 lot Tanah Semarak FELDA, yang kononnya dijual di bawah empat perjanjian jual beli.

FELDA dan FIC pula menuntut ganti rugi dan pampasan untuk konspirasi terhadap 16 defendan berjumlah RM1.062 bilion, bagi nilai komersial tanah sama yang boleh diterima secara langsung daripada jualan tanah itu.

Kedua-duanya juga menuntut ganti rugi RM562 juta sekiranya FELDA menerima MGR berjumlah RM500 juta di bawah Perjanjian Pembangunan, pampasan untuk kos dan perbelanjaan yang akan ditanggung untuk merobohkan struktur yang dibina SPSB dan mengembalikan semula tanah kepada keadaan asal, serta ganti rugi RM1.5 bilion bagi keseluruhan liabiliti sewa di bawah Perjanjian Sewa jika ia tidak diketepikan.

Ganti rugi untuk pampasan pula dituntut oleh FELDA dan FIC bagi konspirasi kedua, membabitkan lapan defendan bagi jumlah dan perkara yang sama.

Selain itu, kedua-dua plaintif turut memohon ganti rugi dan/ atau pampasan terhadap lapan defendan, bagi pertolongan tidak jujur oleh lima lagi defendan untuk pelanggaran kewajipan statutori, fidusiari dan undang-undang lazim yang ditanggung FELDA.

FIC pula menuntut antaranya pampasan terhadap Faizoull dan/atau Mohd Zaid bagi pelanggaran kewajipan statutori, fidusiari dan undang-undang lazim, iaitu pampasan dalam bentuk ekuiti RM1.5 bilion iaitu bagi liabiliti sewa dan pampasan perbelanjaan ditanggung kepada peguam dan pihak lain untuk menyiasat dan menasihati syarikat itu atas tindakan pelanggaran terbabit.

Sementara itu, kedua-dua plaintif turut menuntut kos dan sebarang relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Berita Harian X