Jumaat, 15 November 2019 | 4:10pm

Rafizi tidak berminat aktif politik, nak jadi orang biasa

SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli menyatakan mahu kembali menjadi orang biasa pada masa ini, selepas kes rayuannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, selesai.

Mahkamah hari ini melepas dan membebaskannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 30 bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari tahun lalu, membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Katanya, pada masa ini beliau tidak berminat untuk memberi tumpuan kepada politik.

“Ramai kurang faham ketika dalam medan politik, ia mengambil masa cukup panjang dan tenaga serta masa daripada keluarga. Saya memang sebut dari awal tidak berminat untuk ‘laju’ dalam politik seperti sebelum ini. Juga tidak minat ada jawatan bersabit kerajaan atau awam. Saya ingat masa tiga, empat tahun ini untuk kembali jadi orang biasa.

“Masalah utama orang politik, baik BN (Barisan Nasional) dan sekarang PH (Pakatan Harapan), bila menang jadi kerajaan, dia tak hidup seperti orang biasa. Dia jadi lupa daratan, terpisah dengan realiti.

“Jadi saya rasa, masa PH berkuasa adalah zaman saya kembali jadi orang biasa. Cari makan macam orang biasa dan punyai masa untuk keluarga dan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, selepas kes di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, selesai.

Ditanya kemungkinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan bantuannya, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata perkara berkenaan adalah hak pemimpin utama parti.

Katanya, Anwar dan rakan politik dalam PKR sendiri mengetahui apabila beliau meninggalkan jawatannya dalam dunia korporat kira-kira 10 tahun lalu, ia bukan bertujuan untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan.

“Kita ada misi... misi masa itu ialah bukti pada negara, pada rakyat kita boleh tukar kerajaan. Psikologi tukar kerajaan itu penting. Kalau tidak tukar, orang kata tukar kerajaan kiamat dan sebagainya. Kini terbukti dan kita semua sepatutnya meneruskan kehidupan.

“Dan kita akan tempuhinya bila kita sudah berada di situ. Tetapi saya memang tak ada tanda-tanda berminat. Tempoh 10 tahun adalah masa yang lama untuk berada di hadapan, ceramah tengah-tengah panas, dan adil bagi saya untuk kembali dan meluangkan masa dengan keluarga saya. Saya rasa semua orang patut menghormatinya,” katanya.

Mohd Rafizi juga berkata, soal sama ada beliau akan mempertimbangkan jika Anwar meminta bantuan, ia isu antaranya dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu dan lebih baik dibincangkan dengan pemimpin itu berbanding secara terbuka.

“Supaya orang tak bertanya, saya sebenarnya tiada niat untuk segera kembali di barisan hadapan politik. Saya gembira dapat berhubung semula dengan kawan seperti ini kerana kami sudah bersahabat sejak 20 tahun lalu.

“Yang hadir ini sebagai sahabat, bukan hadir sebagai pemimpin. Selama 10 tahun lalu saya tidak ada masa untuk duduk minum bersama-sama kawan.

“Saya fikir, dalam empat lima tahun ini adalah masa yang baik untuk sekurang-kurangnya saya duduk dan meluangkan masa dengan kawan-kawan. Akan ada masa untuk politik, tidak perlu terburu-buru,” katanya.

MOHD Rafizi Ramli dikerumuni penyokong selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan melepaskan dan membebaskan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli daripada sabitan dan keputusan Mahkamah Sesyen membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) terhadapnya, pada Februari tahun lalu. - Foto NSTP/Roslin Mat Tahir
Berita Harian X