Sabtu, 16 November 2019 | 9:00am
Kumpulan debat UIAM johan pertandingan debat alam sekitar antara institusi pendidikan tinggi UniSZA, Gong Badak, baru-baru ini. NSTP/Rozainah Zakaria
Kumpulan debat UIAM johan pertandingan debat alam sekitar antara institusi pendidikan tinggi UniSZA, Gong Badak, baru-baru ini. NSTP/Rozainah Zakaria

PETRONAS sokong budaya kelestarian alam sekitar

KUALA NERUS: Menjaga dan melindungi alam sekitar bukan tugas kerajaan semata-mata, tetapi adalah tanggungjawab masyarakat keseluruhannya.

Begitu juga syarikat korporat turut berperanan penting dalam melaksanakan tanggungjawab menjayakan aktiviti memelihara dan memulihara alam sekitar.

Menyahut seruan itu, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) antara badan korporat terawal, malah sudah sekian lama memperjuangkan kelestarian alam sekitar melalui inisiatif tanggungjawab korporat sosial seperti Program Biodiversiti, Alam Sekitar dan Pemuliharaan (BEACON) di Bintulu, Kawasan Pemuliharaan Imbak Canyon (ICCA) dan Pusat Pengajian Imbak Canyon (ICSC) di Sabah.

Di Terengganu pula, pembabitan kelestarian alam PETRONAS sejak 2005, melalui usahasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), melahirkan Projek EcoCare bertujuan memupuk kesedaran dan meningkatkan pemahaman mengenai pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan pelajar, guru serta komuniti.

Melalui projek ini, 23,307 pokok bakau menjadi sumber keseimbangan ekologi dan biodiversiti sekitar tebing Sungai Kertih berjaya ditanam sukarelawan.

Selain inisiatif alam sekitar dan komuniti, PETRONAS menekankan budaya dan mengamalkan unsur kelestarian dalam setiap sektor operasinya.

Malah, PETRONAS pelopor gas asli sebagai sumber tenaga lebih bersih, dengan pelbagai infrastruktur dalam sektor itu.

Dijanakan oleh gas asli, Pengerang Cogeneration Plant loji paling efisien di Malaysia kerana ia menjanakan kuasa 50 peratus lebih banyak daripada loji biasa dengan gabungkan gas dan stim.

PETRONAS juga menyokong liberalisasi pasaran gas asli yang menggalakkan persaingan antara pembekal gas asli untuk menawarkan perkhidmatan dan bekalan gas pada harga pasaran kompetitif, selain mampu menyumbang kepada peningkatan sekuriti bekalan gas negara serta industri gas asli lebih mampan.

PETRONAS Chemicals Group Berhad, cabang petrokimia PETRONAS pula beraspirasi untuk menjadi rakan penyelesaian dalam menangani pencemaran plastik dan menyokong kerajaan untuk mencapai Circular Economy Roadmap menerusi Malaysia Plastic Pact.

Semua usaha ini selari dengan Agenda Kelestarian PETRONAS (PETRONAS Sustainability Agenda) yang berpaksikan kepada Matlamat Pembangunan Lestari Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Sustainable Development Goal, SDG)

Matlamat ini menggariskan 17 SDG dengan mengambil kira peranan, perubahan dan cabaran pada masa depan mengenai isu global, terutama melibatkan kemiskinan, pendidikan, kepelbagaian habitat serta kerencaman isu geo-politik serta alam sekitar. PETRONAS komited menyahut tujuh daripada 17 SDG itu.

Agenda Kelestarian PETRONAS juga berdasarkan empat lensa; iaitu keberhasilan nilai, perlindungan alam sekitar, impak positif kepada masyarakat dan tadbir urus berprinsipkan integriti serta pentadbiran yang baik.

Melalui empat lensa ini, PETRONAS mempunyai panduan hala tuju serta fokus untuk segala inisiatif kelestariannya.

Justeru, Pertandingan Debat Alam Sekitar Ke-26 yang dianjurkan dengan kerjasama antara PETRONAS dan Jabatan Alam Sekitar, baru-baru ini, membuktikan kesungguhan dan komitmen berterusan PETRONAS melestarikan alam sekitar.

Pertandingan debat itu membabitkan penyertaan 28 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Pada pertandingan akhir debat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tahun ini, menyaksikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) mengeluarkan hujah mengenai topik ‘Pengurusan Alam Sekitar harus berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.’

UIAM berjaya mengatasi UM dan meyakinkan juri bahawa kuasa dan kewibawaan pengurusan alam sekitar harus dikekalkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Ketua Prestasi Sosial dan Alam Sekitar, Bahagian Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Kumpulan PETRONAS, Ungku Haslina Ungku M Tahir, berkata kolaborasi itu komitmen berterusan PETRONAS dalam menyokong usaha kerajaan untuk menerapkan budaya pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di kalangan pelajar IPT dan belia.

“Ia juga untuk mengetengahkan usaha PETRONAS, melestarikan alam sekitar.

“Sebagai badan korporat bertanggungjawab, PETRONAS sentiasa mengambil berat impak kepada alam sekitar dan kesejahteraan sosial di mana saja kami beroperasi,” katanya.

Usaha dan tindakan dilakukan PETRONAS dalam menerapkan budaya kelestarian wajar dicontohi kerana ia dapat memastikan alam sekitar terpelihara, sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk dan menjana ekonomi negara.

Berita Harian X