Sabtu, 16 November 2019 | 11:32am
GELAGAT penyokong di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming, Pekan Nanas. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Kekecohan reda, calon minta penyokong bersabar

PONTIAN: Kekecohan di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming, Pekan Nanas, di sini, reda apabila calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, meminta penyokongnya bersabar dan tidak melayan provokasi pihak lawan.

Karmaine yang tiba untuk meninjau kawasan pusat mengundi itu kira-kira jam 10.15 pagi berkata, beliau berharap semua pihak, termasuk penyokong PH sendiri tidak melanggar sebarang peraturan pilihan raya.

“Tadi saya dimaklumkan ada sedikit kekecohan kecil, penyokong saling bersorak kerana penyokong lawan dikatakan membuat provokasi.

“Tapi tidak mengapa, saya sudah minta penyokong PH supaya tidak melayan provokasi dan menjalani proses pilihan raya ini dengan tenang,” katanya ketika ditemui di hadapan sekolah itu, pagi ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong daripada DAP, berkata mereka sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Beberapa sukarelawan kita sudah pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis.

“Kita tetap tempatkan sukarelawan di kawasan ini untuk membantu pengundi, justeru kita tidak mahu terbabit dengan insiden tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kekecohan hanya berlaku di pusat mengundi berkenaan sahaja dan tidak membabitkan kawasan lain.

Berita Harian X