Ahad, 17 November 2019 | 3:16pm

9 pasangan mempelai PDRM diraikan

KUALA LUMPUR: Seramai sembilan pasangan mempelai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan dalam Majlis Walimatul Urus PDRM di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Majlis bersejarah dan kali kedua dianjurkan dalam kalangan warga PDRM ini mendapat kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata majlis perkahwinan ini membabitkan sembilan anggota polis berpangkat rendah dari Kontinjen Bukit Aman, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Pasangan terbabit dinikahkan pada 11 November lalu sebelum diraikan hari ini.

“Ucapan penghargaan diberikan kepada Bank Muamalat Malaysia Berhad kerana menyumbang RM100,000 bagi merealisasikan program ini.

“Kesediaan pihak terbabit meneruskan kolaborasi ini adalah satu penghargaan kepada PDRM, ia juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan majlis perkahwinan yang perlu ditanggung warga polis yang ingin mendirikan rumah tangga.

“Semoga usaha murni bank ini menjadi contoh kepada organisasi lain untuk tampil bekerjasama dengan PDRM dalam program yang mampu memberi manfaat bersama,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Sementara itu, seorang pengantin terbabit, Lans Koperal Norashikin Abdullah dari Kontinjen Negeri Sembilan, berharap program seumpama ini akan diteruskan setiap tahun bagi membantu warga polis mendirikan rumah tangga tanpa mengeluarkan belanja besar yang membebankan.

“Sebenarnya, saya dan suami, Lans Koperal Mohamad Zaki Firdaus Nadirin (anggota Angkatan Tentera Malaysia) cuba nasib dengan menghantar permohonan untuk menyertai program ini.

“Alhamdulillah nama kami terpilih, saya harap program seperti ini akan diteruskan bagi meringankan beban warga polis yang ingin berkahwin,” katanya.

Abdul Hamid (kiri) meraikan mempelai dalam Majlis Walimatul Urus PDRM di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mustaffa Kamal
Berita Harian X