Ahad, 17 November 2019 | 7:09pm

Teringin beraksi semula di kokpit Caribou

KUALA LUMPUR: Pertemuan semula lebih 200 bekas juruterbang dan kru penerbangan DHC-4A Caribou mengimbau pelbagai kisah suka dan duka selama 33 tahun perkhidmatan pesawat itu dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bekas Panglima TUDM, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Mohd Yunus Tasi, berkata selain berpeluang bertemu rakan lama, program itu turut memberi peluang kepada mereka mengimbas kembali kehebatan pesawat berkenaan yang disifatkan sebagai paling moden dan canggih ketika era perkhidmatannya.

“Jika Caribou masih boleh diterbangkan hari ini, memang saya teringin untuk kembali beraksi di kokpit. Masih segar dalam ingatan saya ketika menjadi empat juruterbang pertama menerbangkannya dari negara asalnya, Kanada ke Malaysia dulu.

“Saya bersama tiga rakan setugas diberikan tanggungjawab membawa pulang empat Caribou ke Malaysia. Caribou ketika itu adalah pesawat termoden yang memiliki ciri unik dan tiada pada pesawat lain, termasuk boleh berundur, selain memiliki tanjakan alat navigasi moden.

“Cukup seronok mengendalikan Caribou, malah saya teringin sekali untuk kembali menerbangkannya jika ia masih lagi boleh beroperasi pada hari ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Peringatan Perkhidmatan DHC-4A Caribou TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi hari ini.

Hadir sama Panglima Operasi TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Abdul Wahab.

Ketika diminta berkongsi jasa paling besar pesawat itu, Mohd Yunus, berkata perkhidmatan `air drop’ membabitkan penghantaran bekalan kepada pegawai dan anggota tentera di perbatasan antara peranan penting Caribou.

“Caribou ini boleh kita panggil sebagai ‘work horse’, tetapi paling penting menurunkan bekalan makanan, surat peribadi dan pelbagai lagi barangan kepada pasukan tentera yang bertugas dalam hutan tebal.

“Selain itu ia turut digunakan untuk membawa askar ke kawasan pedalaman dan pasukan komando yang menggunakan payung terjun,” katanya.

TUDM menggunakan pesawat pengangkut itu dari 1966 hingga 1999 selepas menerima empat pesawat sebagai hadiah dari Kerajaan Kanada dan digunakan dalam pelbagai operasi dan misi sebelum perkhidmatannya digantikan oleh pesawat C-130 Hercules atau lebih dikenali sebagai ‘Charlie’.

Selain Mohd Yunus, tiga lagi juruterbang yang terbabit dalam penerbangan sulung dari Kanada ke Malaysia adalah Datuk Gopal Ramdas, Allahyarham Brigadier Jeneral Omar Saman dan Mendiang Arthur Cheah Nee Wah.

Mereka bersama empat lagi juruterbang dari Royal Canadian Air Force (RCAF) berlepas dari Kanada pada 26 April 1966 dan sampai di PUKL pada 15 Mei 1966.

Pada 4 September 1966, keempat-empat pesawat itu ditempatkan di Skuadron Ke-8 TUDM yang berpengkalan di Labuan.

Panglima Operasi TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Abdul Wahab (duduk lapan dari kanan) bersama bekas Panglima TUDM, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Mohd Yunus Tasi (duduk sepuluh dari kanan) bergambar bersama pesara TUDM selepas Majlis Peringatan Perkhidmatan DHC-4A Caribou TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi hari ini. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Berita Harian X