Ahad, 17 November 2019 | 8:08pm
Antara pengunjung yang hadir di Pameran Hartanah MyRumah Perak-Ku 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. - NSTP/Effendy Rashid

MyRumah Perak-Ku 2019 dapat sambutan

IPOH: Pameran hartanah, MyRumah Perak-Ku 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Stadium Indera Mulia di sini yang berakhir hari ini, mendapat sambutan menggalakkan, bukan sahaja daripada penduduk bandar raya ini tetapi juga dari daerah berdekatan.

Diadakan secara kerjasama dengan Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX’19), penganjuran selama empat hari bermula Khamis lalu berjaya mengumpulkan enam pemaju perumahan serta tiga bukan pemaju.

Pengunjung yang hadir di Pameran Hartanah MyRumah Perak-Ku 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. - NSTP/Effendy Rashid

Enam pemaju menyertai pameran kali ini iaitu Jabatan Perumahan Negara (JPN); Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP); Casa Subang Sdn Bhd; Kinta Properties Sdn Bhd; Sunway Property Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd.

Tiga bukan pemaju yang menyertai pameran kali ini adalah Amanah Raya Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd (Takaful IKHLAS).

Menawarkan rumah serendah RM70,000, semua pemaju gembira dengan maklum balas diterima daripada pengunjung yang berminat dengan projek perumahan dan premis komersial dibangunkan mereka.

Pengunjung melihat rumah teres dua tingkat Chepor Mutiara pada Pameran Hartanah MyRumah Perak-Ku2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. - NSTP/Effendy Rashid

Pengurus Projek MyRumah, Mohd Haslan Abdul Abbas, berkata sesi ceramah menampilkan pakar bidang hartanah yang memberi penerangan berkaitan pelaburan antara yang mendapat sambutan pengunjung.

“Pameran ini menepati sasaran awal dari segi pengunjung dan pembeli rumah, kesemua hadiah cabutan bertuah disediakan juga habis dengan pelbagai aktiviti dijalankan.

Pengunjung yang hadir di Pameran Hartanah MyRumah Perak-Ku 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. - NSTP/Effendy Rashid

“Penganjuran pameran ini untuk tahun depan Insya-Allah akan diteruskan dan kita berpuas hati dengan penganjuran di Perak selepas melihat sambutan baik diterima pengunjung,” katanya.

Mohd Haslan berkata, sebanyak 63,500 unit kediaman disediakan untuk dimiliki pengunjung yang berhasrat memiliki kediaman sendiri dan maklum balas diterima dari pemaju juga positif.

Berita Harian X