Isnin, 18 November 2019 | 12:00pm
Pulau bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir, sudah 77 peratus siap kini terbengkalai sejak dua tahun lalu. - NSTP/Imran Makhzan

Pulau Bayas tak sesuai jadi zon bebas cukai

KUALA TERENGGANU: Peserta industri pelancongan di negeri ini mengakui projek pulau bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir, tidak ada potensi sejak awal pembinaannya dicadangkan pada 2010.

Mereka berpendapat, Pulau Bayas yang terletak jauh dari Jeti Pengkalan Gawi di situ, sangat tidak sesuai untuk dijadikan lokasi pulau bebas cukai kerana ia bukan saja akan menimbulkan masalah logistik, tetapi juga memberi tekanan kos kepada pengunjung yang mahu ke situ.

Jelas mereka, peserta industri pelancongan juga tidak pernah dipanggil untuk berkongsi pandangan atau pendapat, mengenai idea pembangunan pulau bebas cukai itu sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut, berkata berbeza dengan Langkawi yang mampu menarik jumlah pengunjung yang ramai, pulau bebas cukai di Pulau Bayas dilihat sukar untuk memperoleh peluang sama, kerana kedudukannya yang jauh dari penempatan penduduk dan jeti.

“Untuk ke pulau bebas cukai di Pulau Bayas memakan masa perjalanan setengah jam hingga 40 minit menaiki bot.

“Tetapi tiada kemudahan lain disediakan di situ, selain hanya untuk membeli-belah barangan bebas cukai.

“Kita khuatir ia gagal menarik pengunjung kerana mereka yang mahu ke sana perlu mengeluarkan kos tambahan menaiki bot.

“Pulau Bayas juga tidak seperti Langkawi yang memang terkenal sebagai zon bebas cukai, kerana di situ turut ada penempatan penduduk, sekali gus boleh meningkatkan pulangan ekonomi untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata, secara puratanya Tasik Kenyir menarik sekitar 8,000 pengunjung sebulan dengan 90 peratus pelancong datang melalui aktiviti rumah bot yang disediakan di situ, namun dengan pelan pembangunan Pulau Bayas yang hanya menawarkan tempat beli-belah, ia dilihat tidak mampu menarik pengunjung.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak, pula berkata Pulau Bayas lebih sesuai dibangunkan sebagai tempat penginapan seperti hotel mewah, yang diyakini akan menarik minat pelancong terutama pencinta alam semula jadi.

“Setiap bulan Tasik Kenyir menerima ribuan pelancong dari luar negara terutama Asia Barat dan China, selain pelancong Eropah. Mereka ini sebagaimana kita ketahui, memang sukakan alam semula jadi.

“Jadi saya rasa sekiranya projek itu diteruskan untuk dijadikan penginapan mewah dengan pelaburan dari luar, ia boleh berjaya apatah lagi kedudukannya yang terletak di laluan untuk ke Air Terjun Lasir dan Santuari Kelah yang memang sentiasa menerima kunjungan pelancong,” katanya.

Beliau menyatakan keyakinan, pembinaan hotel atau resort di Pulau Bayas menggantikan projek pulau bebas cukai, mampu memberi pulangan lumayan kepada kerajaan negeri berdasarkan keunikan Tasik Kenyir yang kaya keindahan alam semula jadi yang tidak terusik.

Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Terengganu, Roslan Idris, berkata memang menyedihkan apabila projek pelancongan yang dirancang terbengkalai begitu sahaja selepas ratusan juta ringgit sudah dibelanjakan.

Katanya, sejak awal projek pembangunan pulau bebas cukai itu bergerak perlahan sehingga pembinaannya dihentikan dua tahun lalu, sekali gus memberi kerugian kepada kerajaan negeri.

“Sejak dua tahun lalu juga Tasik Kenyir sudah diwartakan sebagai Zon Bebas Cukai, justeru sekiranya projek pulau bebas cukai itu ditamatkan pun, kita harap Pengkalan Gawi dikekalkan sebagai pusat jualan barangan bebas cukai seperti sekarang.

BH kelmarin melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menyifatkan projek pulau bebas cukai di Pulau Bayas umpama membuang duit di dalam air, kerana tidak membuahkan hasil.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil dan bekas EXCO kerajaan negeri membangkitkan isu itu, selepas RM118 juta wang dibelanjakan untuk projek berkenaan yang mendapat bantahan banyak pihak sejak awal, namun sehingga kini ia gagal disiapkan.

Berita Harian X