Isnin, 18 November 2019 | 12:12pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Cadangan bubar Parlimen tidak relevan

KUALA LUMPUR: Gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen hanya dengan bersandarkan keputusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebagai tidak relevan.

Penganalisis politik, Prof Dr Jayum Jawan, berkata keputusan PRK yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) itu tidak mewakili suara rakyat secara keseluruhan sebaliknya hanya manifestasi pengundi di Parlimen Tanjung Piai.

“Gesaan pembangkang ini tidak relevan. Tiada sebab untuk menggunakan keputusan PRK itu untuk melakukan sesuatu yang lebih besar seperti dicadangkan pembangkang.

“Menang di Parlimen Tanjung Piai bukan bermakna jika Parlimen dibubarkan esok, mereka (pembangkang) boleh menang dan menawan semula kerajaan Persekutuan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri menggesa Parlimen dibubarkan kerana mendakwa Pakatan Harapan (PH) kalah teruk pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Beliau menyifatkan keputusan pengundi di Tanjung Piai bukan saja menggambarkan perasaan rakyat di kawasan Parlimen itu, malah mewakili perasaan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Ismail Sabri menjadikan keputusan tiga PRK sebelum ini, masing-masing di Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih serta DUN Rantau sebagai simbol rakyat menolak kerajaan pimpinan PH.

BN memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai kelmarin menerusi calonnya dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti besar, 15,086 undi selepas memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya, calon PH dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Karmaine Sardini mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.

Sementara itu kata Jayum, Majlis Mesyuarat Presiden PH perlu mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga penggal Parlimen Malaysia ketika ini berakhir.

“Jawatan Perdana Menteri bukan milik Majlis Mesyuarat Presiden PH. Ia milik rakyat. Rakyat saja berkuasa memilih. Siapa mahu menjadi PM kena rujuk kepada rakyat.

“Lagi pun mandat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ialah mandat Dr Mahathir. Kenapa beliau perlu diganggu. Jika hendak jadi Perdana Menteri, dapatkan mandat sendiri dari rakyat,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X