Isnin, 18 November 2019 | 3:19pm
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto BERNAMA

Silibus pendidikan sentiasa diperbaiki

KUALA LUMPUR: Silibus pendidikan kebangsaan diperbaiki secara konsisten bagi memastikan kualitinya terus dipertingkatkan, seiring mutu sekolah antarabangsa dan swasta.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata kerjasama berterusan turut diadakan dengan sekolah antarabangsa bagi memastikan guru di sekolah kerajaan berupaya menguasai subjek masing-masing dengan lebih baik.

Katanya, ibu bapa tidak dihalang menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa atau swasta kerana mereka bebas dan berhak berbuat demikian.

“Ia pilihan ibu bapa kerana sekolah antarabangsa atau swasta adalah institusi pendidikan yang dibenarkan di negara ini.

“Bagaimanapun, kita sentiasa mencuba meningkatkan kualiti pendidikan kebangsaan dengan menyediakan pelajar yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan, khususnya Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)

“Malah, pelajar Tahun Empat dan Tingkatan Empat akan mendapat buku teks baharu yang dilengkapi silibus terkini,” katanya kepada media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Hari ini, BH mendedahkan jumlah pelajar tempatan ‘meninggalkan’ kurikulum pendidikan kebangsaan dengan memilih sekolah antarabangsa, meningkat setiap tahun hingga melangkaui jumlah pelajar luar negara.

Seramai 44,575 pelajar tempatan direkodkan bersekolah di 163 sekolah antarabangsa berdaftar di seluruh negara, iaitu 64 peratus lebih tinggi berbanding 25,220 pelajar asing, tahun ini.

Jumlah pelajar tempatan di sekolah antarabangsa juga meningkat secara berterusan setiap tahun, daripada hanya 8,077 pada 2010, iaitu peningkatan lebih 450 peratus dalam tempoh kurang sedekad.

Nie Ching turut menyatakan kesediaan kementerian untuk menyerap sebahagian kurikulum bersesuaian di sekolah antarabangsa ke dalam silibus pendidikan negara.

“Kita selalu bekerjasama dengan sekolah antarabangsa untuk meningkatkan penguasaan subjek Bahasa Inggeris bagi guru di sekolah kerajaan.

“Bagaimanapun, kita terbuka terhadap cadangan lain dan sedia mengkaji semua kemungkinan. Kita akan laksanakan yang terbaik bagi pelajar,” katanya.

Berita Harian X