Isnin, 18 November 2019 | 7:37pm
SUASANA Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto BERNAMA
SUASANA Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto BERNAMA

Dewan hangat isu 'mungkin', 'parti rasis'

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh kira-kira 10 minit petang ini, susulan perang mulut antara wakil kerajaan dan blok pembangkang yang tercetus kerana perkataan ‘mungkin’.

Keadaan awalnya tenang ketika Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa kementeriannya.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang diberi laluan mencelah, mempertikaikan peruntukan kecil diperoleh kementerian itu dalam Belanjawan 2020 untuk membantu usahawan Bumiputera.

“Saya faham masalah kewangan negara, mungkin YB Bagan (Menteri Kewangan, Lim Guan Eng) tidak mahu membantu usahawan Bumiputera.”

Kenyataannya menimbulkan rasa tidak puas hati RSN Rayer (PH-Jelutong) dan meminta ia ditarik balik kerana dianggap berniat jahat terhadap Ahli Parlimen Bagan.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar bertegas enggan menarik balik kenyataan itu dan mendakwa ia bukan berniat jahat kerana menggunakan perkataan ‘mungkin’.

Rayer yang masih berdiri, dibantu oleh beberapa wakil pembangkang termasuk Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu sangkaan jahat terhadap Ahli Parlimen dan mendesak Shamsul Anuar menarik balik tuduhan berkenaan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, beberapa kali cuba meredakan keadaan dan meminta Shamsul Anuar menarik balik kenyataan berkenaan, namun beliau enggan berbuat demikian.

Mempertahankan hujah rakannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) turut mencelah dengan mengatakan kenyataan Ahli Parlimen Lenggong itu tidak berniat jahat.

“Yang berniat jahat adalah wakil rakyat DAP kerana menghasut rakyat supaya membenci UMNO.

“Jangan tarik balik Lenggong kerana ia bukan kesalahan. Tuan Speaker, sila gantung Jelutong (daripada menghadiri persidangan) dua hari,” katanya dalam nada berseloroh.

Rayer sekali lagi bangun dan mempertahankan partinya tidak bersifat perkauman.

“Parti perkauman adalah UMNO dari dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Datuk Seri Shahidan Kasim (BN-Arau) bangun dan menujukan celahan kepada Rayer.

“Kalau UMNO parti perkauman, kenapa Barisan Nasional menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai?”

Suasana terus hingar-bingar apabila beberapa ahli Parlimen bersuara serentak dengan kedua-dua pihak mengungkapkan ‘tarik balik’ manakala beberapa perkataan kurang enak turut kedengaran.

Rashid berkali-kali meminta Rayer dan Shamsul Anuar menarik balik kenyataan masing-masing tetapi kedua-duanya enggan berganjak.

Suasana kemudian dapat ditenangkan oleh Rashid dan meminta Mohd Redzuan meneruskan penggulungan.

Berita Harian X