Selasa, 19 November 2019 | 1:32pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas merasmikan ‘MPOB International Palm Oil Congress and Exhibition (PIPOC)’, di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Turut hadir, Menteri Industri Utama, Teresa Kok. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

PM alami pendarahan hidung, bertugas seperti biasa

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengalami pendarahan hidung ketika sidang media selepas merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2019 di sini, hari ini.

Pada sidang media berkenaan, Perdana Menteri dilihat beberapa kali mengelap hidungnya ketika wartawan mengemukakan soalan.

Yang turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Dr Mahathir bagaimanapun menjawab semua soalan yang dikemukakan wartawan.

Pegawai pengiring beliau kemudian memberi isyarat supaya sidang media itu dihentikan selepas kira-kira lima minit, sebelum mengiringi pemimpin berusia 94 tahun itu meninggalkan lokasi.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Dr Mahathir, Endie Shazli Akbar, mengesahkan bahawa pemimpin itu mengalami sedikit pendarahan hidung.

“Bagaimanapun, beliau berada dalam keadaan sihat dan tidak membimbangkan. Beliau bertugas seperti biasa. Berita yang mengatakan beliau bergegas untuk mendapatkan rawatan adalah tidak benar,” katanya.

Berita Harian X