Selasa, 19 November 2019 | 3:32pm
MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar dalam sidang media semasa hadir merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengurusan Keselamatan dan Kejuteraan Empangan (ICDSME 2019) di Hotel Wembley Pulau Pinang. NSTP/Danial Saad

Majlis Presiden PH tidak tahu pertemuan Azmin

GEORGETOWN: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak dimaklumkan mengenai pertemuan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PKR, semalam.

Naib Presiden PKR, Datuk Xavier Jayakumar, berkata semua anggota Majlis Presiden PH sepatutnya memaklumkan kepada Majlis Presiden jika mahu mengadakan sebarang pertemuan atau perbincangan dengan mana-mana pihak.

“Saya tidak diberitahu mengenai pertemuan itu, tetapi sesiapa pun khususnya daripada PH, jika ada pertemuan perlu dimaklumkan kepada Majlis Presiden.

“Saya harap perkara ini akan diikuti (dipatuhi),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa, Pengurusan Keselamatan Empangan (ICDSME2019) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan Mohamed Azmin bersama lima Ahli Parlimen PKR dan 22 Ahli Parlimen BN di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di Putrajaya, malam tadi.

Semua mereka dikatakan tiba pada jam 7 malam dan meninggalkan kediaman Timbalan Presiden PKR itu jam 11 malam.

Antara yang hadir ialah Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin; Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Ahli Parlimen BN yang dipercayai hadir ialah Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Selain itu Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jamaluddin Alias dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Berita Harian X