Selasa, 19 November 2019 | 4:50pm
PENGERUSI Institut Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. NSTP/Edmund Samunting.
PENGERUSI Institut Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. NSTP/Edmund Samunting.

Petugas khas pantau CAAM perlu diberi kebebasan

KUALA LUMPUR: Pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyelia pembetulan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengembalikan status penarafan Pengawal Selia Penerbangan kepada Kategori 1 perlu menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penubuhan pasukan petugas khas itu amat wajar bagi meneliti semua aspek berkaitan penarafan yang dikenakan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

“Saya mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi melihat dan memantau usaha (CAAM) untuk mengembalikan status penarafan kawal selia udara kepada Kategori 1.

“Perkara ini harus ditangani dengan segera memandangkan ia berkaitan dengan aspek kepentingan Malaysia terutamanya dalam hal keselamatan operasi CAAM dan pihak berkepentingan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye menjelaskan, pasukan petugas khas terbabit perlu diberi kebebasan menjalankan tugas dalam mengembalikan penarafan kepada Kategori 1 kerana Malaysia selama ini mempunyai rekod yang baik dalam keselamatan udara.

Justeru, beliau berkata, isu penarafan oleh FAA itu perlu ditangani dengan segera kerana ia bukan sahaja membabitkan rakyat tempatan malah negara luar yang menggunakan perkhidmatan udara Malaysia.

Semalam, kerajaan mengumumkan menubuhkan pasukan petugas khas diketuai oleh veteran penerbangan, Datuk Ir Kok Soo Chon dengan dianggotai pegawai teknikal yang berkelayakan dan pakar antarabangsa dalam pelbagai bidang penerbangan.

Pasukan petugas khas itu akan menyelia langkah pembetulan dalam usaha CAAM mengembalikan status penarafan Pengawal Selia Penerbangan kepada Kategori 1.

Mereka juga akan melaporkan kepada Menteri Pengangkutan dan anggota CAAM mengenai tahap kemajuan dalam menyelesaikan semua dapatan penilaian FAA.

Pada 11 November lalu, FAA memaklumkan CAAM diturunkan penarafannya sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 berbanding Kategori 1 sebelum ini.

Ia hasil daripada Kajian Semula FAA ke atas CAAM yang dilaksanakan pada April 2019.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X