Selasa, 19 November 2019 | 5:28pm
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing. - Foto Erika George

Isu penarafan Kategori 2 terus dipersoal

KUALA LUMPUR: Isu penarafan Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 menjadi antara tumpuan sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, dengan keseluruhannya mahu kerajaan mengambil tindakan segera memperbaiki keadaan.

Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) lantang mempersoalkan pendekatan kerajaan yang didakwa terlalu ingin berjimat berbelanja tanpa mengambil kira kualiti perkhidmatan.

“Kita nak tunjuk kepada rakyat kita berjimat, tetapi ada benda boleh jimat dan ada sebaliknya. Impaknya besar kepada negara, bagaimana kita tak ada sistem sampai boleh terlepas begitu saja.

“Saya lihat kerajaan kini lagi hebat berbanding dulu kerana boleh membuat penstrukturan semula dalam banyak perkara tetapi janganlah sampai aspek penyelenggaraan di lapangan terbang pun kena sebut harga, semua nak berniaga saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan, hari ini.

Baru-baru ini, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memaklumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diturunkan penarafannya sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 berbanding Kategori 1 sebelum ini.

Ia hasil daripada Kajian Semula FAA ke atas CAAM pada April lalu.

King Sing turut mempersoalkan kedudukan pengurusan atasan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang didakwa gagal menyelia lapangan terbang dengan baik, terutama yang bersaiz kecil.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya berhak bertanya. Apa punya CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) ini? Saya rasa CEO yang perlu dipecat terlebih dulu, bukannya pegawai mereka.

“Bagaimana mereka mahu selesaikan masalah ini termasuk penyelenggaraan. Contohnya di Lapangan Terbang Bintulu. Apabila di luar hujan, dalam (lapangan terbang) pun hujan.

“Tempat bocor ditampal ‘cellophane tape’ (pita selofan) putih. Mungkin warnanya putih, sama dengan cat, jadi orang ramai tak nampak,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula membangkitkan tindakan lanjut yang akan diambil untuk mengembalikan penarafan kepada Kategori 1.

“Sejauh mana kerajaan boleh kembalikan kedudukan itu ke Kategori 1 kerana sudah tentu perkongsian kod dan penerbangan negara akan terjejas.

“Apa akan berlaku untuk tempoh 12 bulan akan datang? Bolehkah kembali ke Kategori 1 dalam tempoh dinyatakan,” katanya.

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai) mempersoalkan peruntukan hampir RM5 bilion bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sedangkan banyak masalah berbangkit.

“Siling bocor, landasan tenggelam dan kenapa permukaan landasan dilaporkan belum siap.

“Gangguan sistem turut berlaku di KLIA dan klia2 hingga menyusahkan ribuan penumpang. Adakah masalah seperti ini akan menggugat perbelanjaan membina lapangan terbang baharu atau menaik taraf lapangan terbang sedia ada” katanya.

Berita Harian X