Selasa, 19 November 2019 | 5:54pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. NSTP/Ramdzan Masiam
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. NSTP/Ramdzan Masiam

Guna bawang import negara lain jika India naik harga

ALOR SETAR: Pengguna di negara ini masih mempunyai pilihan menggunakan bawang import negara lain, sekiranya berlaku gangguan bekalan bawang dari India sehingga menyebabkan harganya meningkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata peningkatan harga bawang dari India tidak dapat dielak, jika berlaku sebarang bencana ataupun krisis, namun rakyat tidak perlu bimbang kerana terdapat alternatif mengatasinya.

“Sejak beberapa bulan lalu memang terdapat sedikit peningkatan harga bawang India, namun keadaan sudah mula kembali terkawal.

“Pengguna masih ada pilihan lain seperti mendapatkan bawang diimport dari negara lain seperti Belanda kerana semua jenis bawang kita import dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Khas Program Berkhatandi Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau, Pokok Sena, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, pihaknya sentiasa peka dengan masalah yang berlaku supaya kebergantungan kepada pembekal utama bahan itu dapat diatasi.

“Apabila bekalan barang berkurang, ia akan menyebabkan harga barang meningkat. Urusan mengimport bawang adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Cuma kita perlu tahu apa yang terjadi di peringkat pembekal, maka apabila kita tahu ada gangguan di India, kita akan ada pilihan dari negara lain,” katanya.

Berita Harian X