Selasa, 19 November 2019 | 7:51pm
Gambar fail, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pemandu mabuk perlu tindakan lebih tegas

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes kemalangan menyebabkan kematian oleh pemandu mabuk, membangkitkan persoalan di Dewan Rakyat sama ada perundangan sedia ada sudah memadai bagi menghukum pelaku.

Menyuarakan kebimbangannya, Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mempersoalkan sama ada kerajaan perlu menggubal undang-undang baharu bagi merungkai permasalahan terbabit.

Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu mendedahkan jumlah kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk.

“Kita tahu banyak kes membabitkan pemandu mabuk, jadi bagaimana kerajaan bercadang selesaikan isu ini kerana ada yang membabitkan kematian.

“Di Taiwan ada undang-undang memperuntukkan hukuman mati kepada pemandu mabuk menyebabkan kematian.

“Justeru, apakah kita berpuas hati dengan perundangan sedia ada atau perlu digubal undang-undang baharu berserta peruntukan lebih tegas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kelmarin, seorang pegawai bank yang baru meraikan sambutan hari lahirnya maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Klang.

Baru-baru ini, kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Mohaidin Gani Mohamad, 58, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipandu wanita warga China mabuk, berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, Georgetown.

Mac lalu, Taiwan dilapor merancang melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah menyebabkan kemalangan maut, ketika memandu dalam keadaan mabuk bagi kes serius.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) menyifatkan Kementerian Pengangkutan seolah-olah tidak tegas dalam menangani isu terbabit.

Beliau turut mempersoalkan sama ada wajar bagi kerajaan meningkatkan hukuman dalam Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji aspek hukuman dan undang-undang lebih keras terhadap kes pelanggaran pemandu mabuk ini.

“Ia termasuk peranti lebih canggih bagi mengesan pemandu memandu secara berbahaya akibat mabuk, seperti diguna pakai banyak negara maju,” katanya.

Menggulung perbahasan selepas itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sebanyak 191 kes kematian berpunca daripada pemanduan mabuk direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2018, sedikit menurun berbanding 212 kes pada 2017.

Perkembangan itu, katanya, diberi perhatian serius dan pihaknya akan membuat kajian menyeluruh sebelum memuktamadkan keputusan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita harap Yang Berhormat boleh memberi pandangan kepada Kementerian Pengangkutan, khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama ada Akta Pengangkutan Jalan perlu dipinda.

“Saya menyokong cadangan ini kerana pemandu mabuk menyebabkan kematian orang lain perlu diberi hukuman setimpal,” katanya.

Berita Harian X