Selasa, 19 November 2019 | 7:53pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

Pelepasan duti import, SST kerusi keselamatan kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberi pelepasan duti import dan pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lima peratus bagi kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

Langkah itu bertujuan menggalakkan ibu bapa memasang CRS dalam kenderaan masing-masing sebelum peraturan mewajibkan penggunaannya bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pengurangan SST daripada 10 kepada lima peratus itu sudah diluluskan Kementerian Kewangan dan kini dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pewartaan.

“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak termasuk orang awam dan pihak swasta.

“Justeru, semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Loke berkata, pelaksanaan pemasangan CRS itu bukan keputusan tergesa-gesa kerajaan, sebaliknya disarankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sejak dua atau tiga tahun lalu.

“Peraturan itu sepatutnya dilaksanakan Januari lalu tetapi ditangguhkan untuk memberi masa kepada orang ramai, selain memastikan lebih banyak kesedaran dapat ditingkatkan sebelum pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan tahun depan juga bukan bertujuan membebankan ibu bapa, sebaliknya memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak.

Kerajaan juga akan memastikan pendekatan pendidikan digunakan untuk memberi mesej kepada pengguna sebelum penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya.

“Kita faham perkara ini akan mengambil masa dan saya arahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengeluarkan saman dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya kelak.

“Beri kesedaran, nasihat dan teguran kepada ibu bapa. Jika ada yang belum pasang, jangan terus keluarkan saman.

“Saya faham dengan pemikiran rakyat Malaysia, selagi tidak diwajibkan mereka tidak akan berbuat demikian,” katanya.

Dianggarkan 30 peratus ibu bapa yang juga pemilik kenderaan di negara ini memasang kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kereta mereka.

Berita Harian X