Rabu, 20 November 2019 | 2:45pm

Lihat struktur organisasi CAAM - Loke

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan akan berusaha memperkukuhkan lagi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sekali gus mengembalikan status penarafan Pengawal Selia Penerbangan kepada Kategori 1.

Menterinya, Anthony Loke, berkata langkah pertama yang akan dilaksanakan adalah melihat struktur organisasi CAAM terlebih dahulu.

“Kita akan ambil langkah untuk memperkuatkan lagi CAAM dan itu yang akan kita buat sebagai memenuhi penemuan audit Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA),” katanya ketika sidang media selepas Melancarkan Nombor Siri NDN di Pejabat JPJ di sini, hari ini.

Isnin lalu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyelia langkah pembetulan dalam usaha CAAM mengembalikan status penarafan Pengawal Selia Penerbangan kepada Kategori 1.

Pasukan petugas lapan anggota itu diketuai veteran penerbangan, Datuk Kok Soo Chon dengan dianggotai pegawai teknikal yang berkelayakan dan pakar antarabangsa dalam pelbagai bidang penerbangan.

Langkah itu dibuat susulan keputusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menurunkan taraf keselamatan udara CAAM ke Kategori 2 selepas tidak berpuas hati dengan 33 perkara daripada 300 perkara yang diaudit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X