Rabu, 20 November 2019 | 4:33pm
AHLI Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon. NSTP/Mary Victoria Dass

Perbaiki kelemahan kendali pelabur asing

KUALA LUMPUR: Kelemahan kerajaan dalam mengendalikan pelabur asing perlu segera diperbaiki, dalam usaha meredakan ketidaktentuan pasaran pelaburan langsung asing (FDI).

Menyuarakan kebimbangan itu, Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau), berkata pelbagai faktor menyebabkan pelabur asing tidak menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Kelemahan itu membabitkan kesukaran mendapatkan kelulusan pelbagai jabatan bagi sesuatu permohonan, termasuk Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) kilang, selain kelewatan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) serta kekurangan pekerja mahir.

“Pelabur asing terpaksa memohon kelulusan pelbagai jabatan dan agensi untuk mendapatkan lesen pengilangan serta insentif cukai. Keadaan ini menyulitkan mereka, sekali gus menjadikan kurang berminat melabur di Malaysia.

“Kelemahan ini perlu diselesaikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kementerian lain serta pihak berkuasa tempatan untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan di rantau Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi MITI di Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan turut diminta menjelaskan kedudukan import dan eksport negara yang dikatakan berada pada tahap kurang memberangsangkan.

Sehingga September lalu, kadar eksport direkodkan menurun 6.8 peratus kepada RM77.7 bilion, manakala nilai import meningkat 2.4 peratus kepada RM69.4 bilion.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) menyifatkan situasi itu agak menghairankan, selain faktor kejatuhan nilai ringgit sepatutnya berupaya melonjak kadar eksport negara.

Bagaimanapun, katanya, situasi terkini di Malaysia adalah sebaliknya dengan kerajaan didakwa sering menjadikan perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China sebagai alasan.

“Bukankah alasannya ada berlaku dalam negara? Dahulu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) tidak dikenakan terhadap eksport, tetapi kini SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) dikenakan.

“Yang Amat Berhormat Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) beritahu perang dagang AS-China boleh menguntungkan negara, maka saya nak tahu apa untungnya apabila berlaku penurunan eksport dan peningkatan import,” katanya.

Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) ketika mencelah mempersoal tindakan kerajaan yang sering menggunakan perang dagang AS-China sebagai alasan sedangkan ia boleh menjadi peluang keemasan.

Katanya, negara jiran serantau tidak berdepan masalah, malah memanfaatkan keadaan itu sebagai peluang meningkatkan FDI.

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut mempersoal pendirian India menarik diri daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang antara lain dikatakan akan menjejaskan pasaran negara.

“Kenapa India yang mempunyai nilai pelaburan RM1.3 bilion ini tarik diri daripada RCEP? Apabila India tarik diri, ia petanda tidak baik kepada kita.

“Adakah RCEP menjejaskan industri domestik India dan apakah industri domestik Malaysia turut terkesan,” katanya.

Berita Harian X