Khamis, 21 November 2019 | 1:12pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Iqmal Haqim Rosman

RM150j buka kelas pendidikan khas

KUALA LUMPUR: Sekolah yang berhasrat menyediakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi manfaat murid kelainan upaya akan diberi bantuan kewangan RM150,000.

Peruntukan dana permulaan bagi memudahkan usaha pengubahsuaian bilik darjah dan tandas mesra orang kelainan upaya (OKU) itu akan disalurkan selepas sekolah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), selain menepati beberapa prasyarat tertentu.

Memperincikan mekanisme permohonan, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata pendidikan bagi OKU tidak sama dengan murid biasa kerana mereka mempunyai aras pembelajaran berbeza mengikut keadaan kesihatan dan fizikal masing-masing.

Bersandarkan garis panduan, PPKI hanya boleh menempatkan tujuh murid dalam sebuah bilik darjah berbanding 35 murid bagi kelas biasa.

“Kita akan salurkan RM150,000 untuk membantu sekolah (yang mengemukakan permohonan dan memperoleh kelulusan JPN) itu, kalau dapat RM100,000, kita boleh ubah suai dua bilik darjah dan satu tandas (mesra OKU) sedia ada.

“Kerjasama lanjut bagi tujuan ini boleh dijalin dengan Ahli Parlimen supaya lebih banyak kelas PPKI akan dibuka,” katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) sama ada kerajaan akan menyediakan bantuan kewangan bagi mana-mana sekolah di negara ini yang berhasrat membuka kelas PPKI, sekali gus memastikan tiada murid OKU tercicir daripada arus pendidikan.

Kepada soalan asal Kee Chin mengenai syarat atau kriteria permohonan membuka kelas PPKI, Nie Ching menjelaskan, pengurusan sekolah harus menepati empat prasyarat asas.

Ia perlu mencakupi aspek kemudahan bilik darjah dan unjuran keperluan Guru Pendidikan Khas Integrasi (GPKI) serta murid.

Permohonan lengkap harus dikemukakan kepada JPN dalam tempoh dua tahun sebelum pelaksanaan PPKI bagi memberi ruang penyelesaian isu perjawatan guru dan beberapa perkara berbangkit.

“Kelas pendidikan khas ini dicadang dibuka di lokasi strategik dan perlu berada di aras bawah bangunan sekolah, selain mempunyai kemudahan mesra OKU.

“Sehingga 30 Jun lalu, seramai 183 guru mengajar PPKI di peringkat prasekolah, sekolah rendah (8,217 guru) dan sekolah menengah (5,846 guru).

“Sekiranya wujud keperluan segera untuk mengatasi isu kekurangan guru di PPKI, kementerian akan melaksanakan pengambilan guru interim pendidikan khas,” katanya.

Berita Harian X