Khamis, 21 November 2019 | 9:24pm

'Saya tutup mikrofon sebab kasihan dengan YB'

KUALA LUMPUR: Sesuatu yang agak luar biasa berlaku di Dewan Rakyat malam ini apabila Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon, dilihat mencatat sesuatu sambil mematikan mikrofon Ahli Parlimen selama kira-kira empat minit.

Beliau kelihatan menulis sambil sesekali memandang ke arah Ahli Parlimen dengan latar belakang pertikaman lidah dalam kalangan beberapa anggota Dewan mewakili kedua-dua pihak.

Ia bermula ketika Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, sedang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Beliau menjawab isu projek terbengkalai di Negeri Sembilan yang disentuh Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sebelum RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mencelah dan membangkitkan isu Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Tindakan Rayer itu mencetuskan kemarahan beberapa wakil pembangkang termasuk Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang bangkit serentak untuk membantah.

Suasana menjadi hingar-bingar dengan semuanya saling bertegang urat sebelum Mohd Rashid mematikan mikrofon dan mula mencatat selepas arahannya supaya mereka duduk tidak diendahkan.

Beberapa minit kemudian, beliau mengarahkan semua Ahli Parlimen supaya berhenti bersuara lalu berkata:

“Ahli Yang Berhormat, saya tak buka mikrofon ini kerana kalau tak, semua perkataan (kesat) ini dicatit dalam hansard.

“Saya mahu semua ahli Yang Berhormat tarik balik perkataan ‘biawak’, ‘sial’, ‘babi’, ‘cabuk’, ‘bodoh’ ‘penipu’, ‘kurang ajar’. Saya catit semua ni... saya kasihan dengan Yang Berhormat semua.

“Jelutong (Rayer) dan ahli Yang Berhormat lain sila duduk dan minta timbalan menteri teruskan (penggulungan),” katanya.

Pertelagahan itu berlarutan hampir 15 minit sebelum keadaan berjaya dikawal Mohd Rashid.

Berita Harian X