Jumaat, 22 November 2019 | 7:21pm

Jangan pilih pemimpin bawa malapetaka - Dr Mahathir

BANGI: Kewujudan sekolah kepimpinan seperti Future Leaders School (MFLS)

amat penting pada masa ini bagi melahirkan pemimpin masa depan yang memiliki sifat dan akhlak baik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, penerapan nilai murni dalam kalangan bakal pemimpin negara penting bagi melahirkan kumpulan anak muda yang mampu membawa kebaikan kepada negara.

Katanya, negara perlu menumpukan untuk melahirkan pemimpin masa depan yang baik kerana ia memberi kesan kepada masa depan masyarakat.

“Kita perlu menumpukan usaha melahirkan kepimpinan kerana ia memberi kesan besar. Jika tersilap pilih dengan pemimpin tiada sikap baik akan menyebabkan masalah kepada masyarakat.

“Jangan pilih pemimpin yang membawa malapetaka kepada negara. Jika silap pilih, masyarakat akan hadapi masalah dan mungkin akan runtuh sama sekali,” katanya dalam ucaptama Konvensyen Alumni MFLS, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dr Mahathir berkata, peranan pemimpin boleh membangunkan negara tetapi jika pemimpin yang buruk dan terpengaruh dengan nafsu, ia akan merosakkan masyarakat.

“Kalau ilmu disalah guna, maka akan beri kesan buruk, kalau ilmu digunakan untuk kebaikan ia akan beri kesan,” katanya.

Beliau mengambil contoh pemimpin terkenal Russia, Peter The Great, kerana berjaya memajukan negara itu yang sebelum ini jauh ke belakang dalam kalangan negara Eropah lain ketika itu.

Sehubungan itu, katanya, negara perlu melatih rakyat supaya mempunyai bakat seperti pemimpin dengan nilai mulia yang dapat menyumbang kepada masyarakat.

“Untuk menjadi seorang pemimpin, kita kena mempunyai sifat tertentu. Kita terap nilai baik yang boleh membawa kejayaan,” katanya.

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. NSTP/Eizairi Shamsudin.
PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. NSTP/Eizairi Shamsudin.
Berita Harian X