Jumaat, 22 November 2019 | 7:29pm
PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar bersama alumni di Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School yang diadakan di UKM, Bangi. NSTP/Eizairi Shamsudin

Pemimpin UMNO sudah hilang parti - Tun M

BANGI: Tun Dr Mahathir Mohamad menggelarkan pemimpin UMNO yang mengadakan pertemuan dengan seorang Menteri Kabinet baru-baru ini sebagai mereka yang sudah kehilangan parti.

Perdana Menteri berkata, mereka juga keliru sama ada mahu kekal dalam parti itu atau keluar meninggalkannya dengan menyertai parti lain.

“Orang UMNO ini mereka sudah hilang parti, tak tahu apa nak buat. Jadi (mereka) tanya sama ada nak masuk parti lain ke tidak.

“Ada juga yang membuat kenyataan sokong kepimpinan Dr Mahathir,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman serta timbalannya, Steven Sim Chee Keong.

Dr Mahathir diminta mengulas pertemuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan beberapa pemimpin UMNO di kediamannya, di Putrajaya, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, terserah kepada UMNO untuk menentukan sama ada mereka bersetuju dengan tindakan pemimpin mereka itu.

“Kalau parti dia tak setuju, parti dia bagi tahulah dia (pemimpin itu), itu bukan parti saya. Semua tahu PAS juga kata mereka mahu sokong saya. UMNO juga mereka sokong saya. Terima kasih.

“Saya tidak tahu siapa yang tidak menyokong saya. Kalau mereka tak sokong saya, mereka boleh kemukakan resolusi tidak yakin kepada Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga mengulangi pendiriannya tidak campur tangan dengan urusan parti lain termasuk PKR, yang kini dilaporkan sedang bergelut dengan konflik dalaman.

Ditanya isu dibangkitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemberian projek yang dakwanya membabitkan seorang anggota Kabinet, Dr Mahathir akui ia dibincang dalam pertemuan mereka semalam.

“Datuk Seri Anwar bagi tahu saya ada Menteri Kabinet bagi projek. Menteri Kabinet berhak bagi dalam kawasan dia, tapi janganlah pergi (bagi) kawasan-kawasan lain,” katanya.

Berita Harian X