Jumaat, 22 November 2019 | 8:46pm
MENTERI Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapan di Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School yang diadakan di UKM, Bangi. NSTP/Eizairi Shamsudin

MFLS latih 36,000 anak muda tahun depan

BANGI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan melatih 36,000 lagi anak muda di bawah program Malaysia Future Leaders School (MFLS) tahun depan, sebagai bekalan menjadi pemimpin masa depan.

Menterinya, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pencapaian melatih kira-kira 29,000 anak muda di bawah MFLS tahun ini.

Katanya, MFLS dilancarkan bagi membolehkan anak muda diberi panduan sebaiknya dalam membawa suara rakyat dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Dalam beberapa bulan ini kita gerakkan MFLS, seramai 26,000 anak muda dilatih. Proses latihan dibuat di seluruh negara dan saya jangkakan, akhir tahun ini akan cecah 29,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvensyen Alumni MFLS di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Syed Saddiq berkata, daripada jumlah yang dilatih, 200 peserta terbaik akan dipilih dan dihantar ke negara luar seperti Jepun dan Qatar untuk mendapatkan pendedahan kepemimpinan di sana.

“Mereka juga akan dilatih dengan pemimpin tertinggi Malaysia, didedahkan dengan Perdana Menteri, menteri-menteri, malah pengerusi korporat supaya kalian satu hari nanti dapat menggantikan mereka.

“Kita juga pastikan mereka (peserta MFLS) dapat menyertai Ahli Parlimen Belia, mengikuti program Felo Perdana, Felo Korporat dan felo perdana selain diletakkan di bawah pimpinan tertinggi negara serta korporat,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mahu anak muda miliki sifat berani dalam melontarkan pandangan dan kritikan, biarpun berdepan dengan mereka yang berpengalaman.

Biarpun tanpa pengalaman, beliau berkata kekuatan anak muda sebenarnya terletak pada idealisme dan semua itu menentukan sejauh mana mereka mampu membawa perubahan kepada masyarakat dan negara.

“Pastikan nilai dalam diri ditambah baik untuk jadi contoh kepada semua. Jangan takut kalau ada rintangan di depan. Jangan mudah mengalah, walaupun kita berhadapan dengan mereka yang berpengalaman.

“Kelebihan kita adalah idealisme dan semangat perjuangan kita. Kita percaya boleh bawa perubahan. Idealisme mesti disematkan dalam minda, di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” katanya.

Berita Harian X