Sabtu, 23 November 2019 | 7:40pm
Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Ashri Muda pada sidang media sempena Lawatan Kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea hari ini.
 - Foto BERNAMA

Malaysia berhasrat ambil kesempatan perubahan dasar luar Korea Selatan

BUSAN: Malaysia berhasrat mengambil kesempatan terhadap perubahan dasar luar negara Korea Selatan yang kini memberi semula penekanan terhadap perhubungannya dengan rantau ASEAN.

Inisiatif berkenaan yang digelar sebagai Dasar Selatan Baharu atau ‘New Southern Policy’ (NSP) oleh pentadbiran Presiden Moon Jae-In, mensasarkan perdagangan antara Korea Selatan dan ASEAN untuk melonjak kepada AS$200 billion menjelang 2020 daripada AS$160 billion pada 2018.

“Di bawah NSP, Korea Selatan mahu meletakkan ASEAN sama taraf dari segi hubungannya dengan empat kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat, China, Jepun dan Russia,” kata Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda.

Beliau memberitahu demikian kepada wartawan Malaysia di sini hari ini, sehari sebelum ketibaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea (ROK) yang akan berlangsung selama dua hari, bermula Isnin.

Korea Selatan untuk kali ketiga menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu yang akan disertai Presiden Moon dan ketua kerajaan negara-negara ASEAN.

Sidang kemuncak itu pertama kali diadakan di Jeju pada 2009, disusuli Busan pada 2014 dan kali ini diadakan untuk menandakan ulang tahun 30 tahun hubungan dialog ASEAN-ROK.

Fokus semula pentadbiran Moon terhadap negara ASEAN banyak berpunca daripada pertumbuhan pesat perdagangan di antara rantau itu dan Korea Selatan. Sejak beberapa dekad lalu, Korea Selatan banyak memberi fokus agenda dasar luar negaranya kepada Korea Utara dan empat kuasa besar.

Namun, selepas ASEAN muncul sebagai rakan dagang terbesarnya selepas China, pentadbiran Moon berusaha meningkatkan hubungan dengan rantau di selatannya itu di bawah inisiatif NSP berkenaan yang turut memberi tumpuan kepada India.

Moon yang sebelum ini berkata NSP akan dipandukan oleh “3P” iaitu “Penduduk, Kemakmuran dan Keamanan” atau “People, Prosperity and Peace”, dijangka mendedahkan lebih banyak butiran berhubung inisiatif itu pada sidang kemuncak ASEAN-ROK kali ini.

Mohd Ashri berkata, delegasi Malaysia pada sidang kemuncak itu yang diketuai Perdana Menteri, akan turut disertai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking.

Antara lain, ketua kerajaan ASEAN dan Korea Selatan akan membincangkan hala tuju masa depan kerjasama mereka dalam bidang politik, keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya, selain usaha terkini untuk meningkatkan kesalinghubungan di antara ASEAN dan Korea Selatan serta perbincangan dengan peserta “start-up”.

Dr Mahathir juga, kata Mohd Ashri, akan menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Eksekutif ASEAN-ROK yang dianjurkan Dewan Perniagaan dan Industri Korea.

Selain itu, ketika di Busan, Perdana Menteri akan melawat kemudahan Korea Aerospace Industry, kilang Hyundai Rotem Changwon dan dermaga kapal Samsung Heavy Industries Goeje Shipyard.

Dr Mahathir yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan berlepas ke Seoul pada Rabu untuk melakukan lawatan rasmi dua hari.

Di ibu negara Korea Selatan itu, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala dengan Presiden Moon serta menghadiri mesyuarat meja bulat bersama pemain industri utama di Korea Selatan.

Berita Harian X