Sabtu, 23 November 2019 | 9:38pm
Gambar fail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kementerian akan jadikan industri francais sektor utama pembangunan keusahawanan

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menjadikan industri francais sebagai sektor utama yang memberi impak penting bukan saja dari segi pembangunan keusahawanan dan peluang pekerjaan, malah memberi nilai tambah kepada kepuasan kehidupan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kementerian juga akan memastikan industri francais mampu menjadi antara sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan program pembangunan francais negara melalui Ekspo Francais Kebangsaan (NFeX) dan Francais Domestik akan membantu memberi persekitaran yang kondusif kepada industri itu secara keseluruhannya.

“Antara inisiatif strategik untuk menjayakan program ini ialah padanan perniagaan, sesi perkongsian, klinik francais, demonstrasi produk dan perkhidmatan, promosi serta program kesedaran dan pendidikan.

“Program ini juga akan dijadikan medium utama untuk menggalakkan penggunaan jenama francais Malaysia,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian NFeX 2019 Zon Sabah di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) kementerian itu, Dr Alauddin Sidal.

Program selama tiga hari dan berakhir esok itu untuk memupuk kesedaran dan minat dalam kalangan rakyat Sabah kepada jenama francais Malaysia selain mendekatkan masyarakat setempat dengan perniagaan dan keusahawanan francais.

Lebih 20 jenama francais tempatan dan antarabangsa dari pelbagai sektor menyertai program itu.

Saifuddin berkata, kementerian turut menggalakkan konsep francais sosial untuk memastikan penggiat industri francais dapat menyumbang semula kepada masyarakat tanpa mengurangkan perolehan perniagaan.

Beliau berkata, program francais sosial juga dilihat mampu mengukuhkan lagi ekosistem francais yang lebih dinamik.

Katanya, sebanyak 66 jenama francais Malaysia telah berkembang ke 65 negara dengan lebih 4,200 cawangan di seluruh dunia pada tahun ini.

Beliau berkata, statistik itu jelas menunjukkan industri itu mampu mengangkat martabat jenama Malaysia di persada antarabangsa sekali gus memberi impak kepada ekonomi negara.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, kementerian mahu melihat cawangan francais tidak hanya dibuka di luar negara tetapi pasarannya perlu dikembangkan di Malaysia termasuk Sabah, selain memperluaskan lagi pertumbuhan produk dan perkhidmatan francais tempatan.

Katanya, beliau berharap kementerian dapat menjalin kerjasama strategik dengan pemain industri di Sabah dan optimis dengan kepakaran dan pengalaman agensi negeri seperti Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah serta Perbadanan Ekonomi Negeri Sabah yang mampu menjayakan kerjasama terbabit. - BERNAMA

Berita Harian X