Ahad, 24 November 2019 | 11:43am
WEE Ka Siong
WEE Ka Siong

Ka Siong tuduh kerajaan PH cakap tak serupa bikin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempertahankan dakwaannya bahawa pemberian projek Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bernilai RM1.4 bilion secara rundingan terus sebagai satu skandal walaupun tender itu belum dimuktamadkan.

Presiden MCA itu berkata, pemberian projek secara rundingan terus bertentangan dengan dasar kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Julai 2018 bahawa tiada lagi perolehan, tawaran projek dibuat melalui rundingan terus, sebaliknya wajib melalui tender terbuka.

Beliau turut menegaskan terlalu janggal apabila pada awalnya tawaran projek dibuat secara terbuka tetapi akhirnya diklasifikasikan sebagai projek rundingan terus.

“Dulu kata rundingan terus dibatalkan, tiba-tiba Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan dianugerahkan projek secara rundingan terus. Ia ibarat cakap tak serupa bikin.

“Lebih serius apabila Menteri (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub) kata permohonan NAFAS itu disokong... ini ibarat pilih kasih, pilih bulu dalam pemberian kontrak.

“Tak perlu cakap lebih-lebih, memang skandal, malah dia (menteri) sendiri cakap NAFAS masuk tender tetapi kalah, kemudian masuk ikut pintu belakang, mana boleh?” katanya kepada BH.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, berkata jika pemberian projek itu dibuat demi membela dan menjaga kebajikan 920,000 petani yang menjadi ahli NAFAS, sewajarnya satu kenyataan dikeluarkan bagi mewajarkan tindakan itu, bukan bersikap berdolak dalik.

“Sepatutnya mereka mengakui terpaksa ubah pendirian demi membantu NAFAS, bukannya menawarkan tender terbuka yang hanya bersifat ‘camourflage’,” katanya.

BH hari ini melaporkan penganugerahan pelbagai projek berkaitan padi secara rundingan terus kepada NAFAS yang dilaksanakan sejak 1980-an adalah bagi membela dan menjaga kebajikan 920,000 ahli yang memiliki saham dalam pertubuhan itu.

Pengerusi NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, dilaporkan berkata pertubuhan itu tidak akan mampu bersaing dengan syarikat besar jika penganugerahan projek dilakukan secara tender terbuka.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Ka Siong di Dewan Rakyat, Khamis lalu bahawa berlaku salah guna kuasa susulan tindakan kerajaan membatalkan pemilihan tiga kontrak berkaitan padi melalui tender terbuka, membabitkan nilai lebih RM1.4 bilion.

Ia merangkumi dua projek pembekalan input pertanian sektor padi bernilai RM1.4 bilion serta membekal dan penghantaran dan kerja pengkapuran membabitkan kontrak RM54.28 juta.

Berita Harian X