Isnin, 25 November 2019 | 12:27pm

Malaysia berminat dalami program jet pejuang Korea Selatan

SACHEON: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengadakan lawatan ke Korea Aerospace Industries Ltd (KAI), hari ini menyatakan minat terhadap pembangunan program jet pejuang dari Korea Selatan.

Beliau menyifatkan Korea Selatan menunjukkan kemajuan sejak kali terakhir lawatannya ke negara itu, membuatkan beliau tidak sabar untuk melihat sendiri pencapaian industri penerbangan tempatan berkenaan.

Dr Mahathir yang kali terakhir melawat Korea Selatan sebagai Perdana Menteri pada 2002, menghabiskan masa lebih sejam di kemudahan KAI, kira-kira dua jam perjalanan berkereta dari Busan.

Perdana Menteri turut menunjukkan minat ketika diberikan penerangan dalam kokpit pesawat tempur ringan, FA-50 oleh juruterbangnya.

Dr Mahathir yang kini berada di Korea Selatan menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan (ROK) 2019 di Busan, tiba di KAI dengan menaiki helikopter dan disambut oleh Menteri Pentadbiran Program Pertahanan Korea Selatan (DAPA) Korea Selatan, Wang Jung-Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI, Ahn Hyun-Ho.

Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullan dan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Ignatius Darell Leiking.

Korea Aerospace Industries, yang lebih dikenali sebagai KAI adalah syarikat aeroangkasa dan pertahanan Korea Selatan.

Pesawat FA-50 KAI adalah varian tempur T-50, pesawat supersonik pertama Korea Selatan dan satu daripada beberapa pelatih supersonik yang ada di dunia.

KAI turut membangunkan jet pejuang generasi 4.5, KAI KF-X, satu usaha sama antara Korea Selatan dan Indonesia.

Program berkenaan diterajui Korea Selatan dengan memegang 80 peratus saham dan disertai Indonesia pada 2010 dengan memiliki selebihnya, 20 peratus pegangan saham.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat lawatan ke Korea Aerospace Industry (KAI) di Sacheon sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea Selatan - Foto Khaidir A Majid
Berita Harian X