Isnin, 25 November 2019 | 2:09pm
PENGERUSI PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad. - Foto Azhar Ramli
PENGERUSI PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad. - Foto Azhar Ramli

PAC dapati FIMI tidak capai matlamat, kemukakan 7 syor

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati Program Insentif Penerbitan Filem Di Malaysia (FIMI) yang menelan belanja RM244.17 juta sejak 2013 hingga 2018, tidak mencapai matlamat utamanya.

Dalam laporan PAC mengenai FIMI yang dikeluarkan hari ini, PAC mendapati tiada skop dan perincian tuntutan serta kelemahan dalam tatacara tuntutan rebat yang menyebabkan ketirisan dan perbelanjaan yang tersasar bagi projek di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu.

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata laporan itu berdasarkan prosiding PAC yang dibuat pada 20 Ogos lalu, susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri1.

Katanya, pada prosiding itu, PAC memanggil Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad; Pengerusi FINAS, Datuk Han Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

“Hasil daripada prosiding berkenaan, PAC membuat rumusan bahawa secara keseluruhan PAC berpuas hati dengan maklum balas yang diberikan pengurusan tertinggi FINAS kerana mereka terdiri daripada pemain industri perfileman negara dan mengetahui kesukaran mendapatkan dana bagi menghasilkan filem.

“PAC juga berpuas hati bahawa kepemimpinan baharu pengurusan tertinggi FINAS memahami peranan mereka dalam mengembangkan ‘soft power’ dan ‘soft export’ dan industri kreatif di peringkat antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, PAC mendapati tiada skop dan perincian tuntutan serta kelemahan dalam tatacara tuntutan rebat yang telah menyebabkan ketirisan dan perbelanjaan yang tersasar.

“PAC mendapati bahawa projek FIMI ini yang telah menelan belanja RM244.17 juta daripada 2013 hingga 2018 tidak mencapai matlamat utamanya yang bertujuan untuk membantu perkembangan dan kemajuan industri kandungan tempatan, di samping mempromosikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi penggambaran filem luar negara,” katanya dalam kenyataannya mengenai laporan PAC berkenaan yang diedarkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, dalam prosiding berkenaan, ahli PAC membangkitkan enam isu iaitu sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada dana program FIMI dimanfaatkan oleh pengeluar filem tempatan, tidak tercapai kerana hanya lima permohonan projek tempatan bernilai RM12.42 juta atau 10 peratus daripada peruntukan diluluskan dari 2016 sehingga tarikh pengauditan iaitu pada Ogos 2018.

Isu lain adalah FINAS belum melaksanakan kajian penilaian ‘outcome’ (keberhasilan) berkaitan program FIMI; pembayaran berjumlah RM1.21

juta diluluskan walaupun permohonan tidak memenuhi syarat ditetapkan serta Unit FIMI tidak menyimpan rekod kewangan, lejar perbelanjaan, resit perbelanjaan dan bil oleh syarikat pemohon yang sudah disemak dan disahkan oleh firma audit untuk tujuan pemantauan tuntutan rebat serta pengauditan.

Dua lagi isu adalah FINAS tidak menyediakan kontrak perjanjian bagi perkhidmatan firma audit tetapi menerima pakai terma perkhidmatan yang dikemukakan oleh firma audit dilantik sebagai dokumen kontrak bagi menjelaskan terma

perkhidmatan audit, manakala isu terakhir adalah tiada senarai semak dan laporan pemeriksaan fizikal disediakan untuk 15 projek dari 2013 hingga Jun 2018.

Sehubungan itu, Noraini berkata, PAC mengesyorkan kepada kerajaan supaya melaksanakan tujuh syor, pertama, FINAS perlu melaksanakan penilaian ‘outcome’ bagi mengukur prestasi dan pencapaian program untuk menggalakkan perkembangan serta kemajuan

industri kandungan tempatan di samping mempromosikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi penggambaran filem luar negara.

Kedua, FINAS perlu memastikan pengeluaran filem yang kreatif dan berkualiti tinggi serta melahirkan bakat tempatan untuk menarik pasaran antarabangsa dan ketiga, selain menjalankan kajian terperinci sama ada rebat atau pemberian geran adalah mekanisme pembayaran terbaik untuk mencapai objektif utama FIMI.

“FINAS juga hendaklah menyediakan skop dan perincian tuntutan serta menambah baik tatacara tuntutan dan pembayaran rebat di peringkat PC dan FC secara khususnya dan menambah baik proses pembayaran rebat secara amnya bagi mengelakkan ketirisan dan perbelanjaan yang tersasar.

“FINAS hendaklah memantau dan menyimpan laporan dan kertas kerja pengauditan yang dijalankan oleh firma audit secara teratur,” katanya.

Dua lagi syor dikemukakan PAC adalah FINAS harus mengambil kira keperluan meraih manfaat menerusi setiap pelaburan yang dibuat khususnya dalam aspek promosi dan pemasaran manakala syor terakhir, kontrak perjanjian formal antara FINAS dengan firma audit hendaklah disediakan dengan jelas dan terperinci serta menjamin kepentingan kerajaan.

Orang ramai yang berminat membaca Laporan PAC mengenai FIMI berserta dengan hansard prosiding boleh memuat turun laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac.

Berita Harian X