Isnin, 25 November 2019 | 3:10pm
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

41,000 siswazah diterima bekerja

KUALA LUMPUR: Seramai 41,000 siswazah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan sehingga bulan lalu, hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia dengan pelbagai agensi pekerjaan khususnya Jobs Malaysia.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata kebanyakan siswazah mendaftar mencari kerja dengan Jobs Malaysia yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada graduan universiti.

“Sehingga bulan lalu, seramai 290,898 pendaftar aktif meliputi 210,868 siswazah mendaftar dengan Jobs Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) yang ingin tahu jumlah siswazah yang masih mengganggur sejak dua tahun lalu dan apakah puncanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata persepsi negatif bahawa bidang Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah pilihan kedua bagi pelajar lemah berbanding bidang akademik konvensional, perlu dikikis ibu bapa.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran), beliau berkata ibu bapa perlu meletakkan keyakinan dan memberi sokongan kepada anak mereka yang mengambil TVET kerana bidang itu mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan industri dan negara bagi mengharungi Revolusi Industri 4.0.

Katanya, bagi memperkasakan TVET, kerajaan menerusi pelan tindakan sehingga 2025 di bawah Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan membabitkan enam kementerian turut menumpukan kepada program Tahfiz TVET sebagai langkah pertama meluaskan latihan kemahiran kepada anak muda tahfiz.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan anak tahfiz juga mempunyai masa depan untuk memasuki sektor pekerjaan kelak.

“Kita mengadakan pertemuan bersama Majlis Agama Islam Negeri Kedah, baru-baru ini, yang turut disertai lebih 70 wakil pusat tahfiz di negeri itu bagi membincangkan mengenai perancangan kerajaan ke arah Tahfiz TVET.

“Kerajaan melihat TVET sebagai keperluan. Mereka yang memiliki diploma dalam kemahiran, layak meneruskan pengajian di peringkat ijazah melalui projek Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Langkah ini dilihat dapat memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap TVET,” katanya.

Berita Harian X